Hambali mohon deposisi 2 rakyat Malaysia untuk perbicaraan

Hambali mohon deposisi 2 rakyat Malaysia untuk perbicaraan

Peguam mahu menentukan sama ada Nazir Lep dan Farik Amin dipengaruhi prospek dihantar pulang ke Malaysia.

Mohammed-Nazir-Lep_Mohammed-Farik-Amin
Peguam mewakili suspek pengganas Indonesia, Hambali berkata mereka akan berusaha mendapatkan Nazir Lep dan Farik Amin hadir memberi keterangan dalam perbicaraan itu.
PETALING JAYA:
Peguam mewakili suspek pengganas Indonesia, Nurjaman Encep atau Hambali cuba mendapatkan deposisi dua rakyat Malaysia untuk digunakan sebagai keterangan dalam perbicaraan akan datang.

Peguam turut berusaha mendapatkan akses ke atas komunikasi (seperti e-mel, surat atau bentuk komunikasi lain) antara Nazir Lep dan Farik Amin serta kerajaan AS dan Malaysia.

Nazir dan Farik yang ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006, dihantar pulang ke Kuala Lumpur Disember lalu untuk menjalani baki hukuman penjara lima tahun, selepas mereka mengaku bersalah.

Peguam Hambali berkata, mereka cuba menentukan sama ada matlamat utama kerajaan AS adalah untuk dua rakyat Malaysia itu mendedahkan kebenaran atau mengaitkan Hambali, yang didakwa menjadi dalang pengeboman Bali.

Nazir, 47, dan Farik, 48, membuat deposisi sebelum menukar pengakuan mereka kepada bersalah.

Kedua-duanya mengaku bersubahat dengan Hambali untuk melakukan pengeboman yang meragut 202 nyawa. Mereka dijatuhkan hukuman penjara 23 tahun, tetapi di bawah perjanjian praperbicaraan, mereka boleh dibebaskan selepas lima tahun dan dihantar pulang ke negara ketiga.

Peguam Hambali berkata, pihak pembelaan boleh memutuskan untuk mendapatkan kehadiran dua saksi itu bagi memberi keterangan secara langsung atau dari jauh dalam perbicaraan.

Perbicaraan dijadualkan bermula bulan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.