
Naib Pengerusi Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Shahbudin Embun berkata, laporan dibuat agar polis dapat menyiasat sama ada wujud unsur kelalaian dan salah guna kuasa atau tidak.
“Laporan yang kami buat itu adalah berdasarkan fakta (penemuan) Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku,” katanya pada sidang media di depan IPD Dang Wangi.
Tambahnya, laporan polis turut dibuat di beberapa negeri lain termasuk Johor, Pulau Pinang dan Perlis.
Mahathir sebelum ini menafikan penemuan RCI bahawa beliau bertindak secara unilateral apabila memutuskan tidak meneruskan permohonan agar Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyemak keputusannya menganugerahkan kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura.
Beliau berkata, ketika perkara itu dibangkitkan pada mesyuarat Jemaah Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, ketika itu timbalan perdana menteri; Muhyiddin Yassin selaku menteri dalam negeri; Lim Guan Eng (menteri kewangan); Mohamad Sabu (menteri pertahanan); dan Loke Siew Fook (menteri pengangkutan) turut hadir.
Bagaimanapun, Azizah, Loke dan Mohamad baru-baru ini berkata, mereka tidak diberi ruang menyuarakan pendirian kerana Mahathir sekadar ‘memaklumkan’ perkara itu dalam mesyuarat.
Sementara itu, Shahbudin hari ini berkata, laporan polis turut dibuat terhadap penulis blog Wan Azri Wan Deris kerana didakwa menggelar Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebagai ‘pelacur’ perdana menteri susulan penahanannya pada Sabtu lepas.
“Jika tiada tindakan lanjut daripada pihak berkuasa, kami akan pergi ke mahkamah dan membawa isu kepada Peguam Negara,” katanya.
Beliau turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia(SKMM) segera menyekat akaun media sosial Wan Azri kerana menyalahgunakan kebebasan bersuara.