
Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd Zulfadli Nayan, 43, di akhir kes pendakwaan.
Berdasarkan pertuduhan, Zulfadli didakwa menerima suapan RM10,000 daripada pemilik syarikat perkapalan, Wan Mohd Fauzi Wan Kamaruddin, di sebuah restoran di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, pada 10 malam, 2 Okt 2020.
Zulfadli didakwa menggunakan jawatannya ketika itu untuk tidak mengambil tindakan terhadap siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn Bhd yang ditahan KM Mulia milik APMM Malaysia pada 17 Sept 2020.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly mewakili tertuduh, memberitahu mahkamah anak guamnya memilih memberi keterangan bersumpah ketika prosiding bela diri, menurut Berita Harian.
Beliau turut memaklumkan pihaknya akan mengemukakan antara tujuh atau lapan saksi ketika prosiding bela diri dijadualkan selama tujuh hari, pada 8, 13, dan 14 Jan; selain 17 dan 20 Feb serta 3 dan 4 Mac tahun depan.
Pada 23 Mei 2021, tertuduh yang kini digantung tugas sebagai ketua penolong pengarah kanan Cawangan Hubungan dan Koordinasi Antarabangsa Ibu Pejabat APMM mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terbabit.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong.