Tukang sapu didenda RM80,000 jual, sebar video ‘swinger’ di X

Tukang sapu didenda RM80,000 jual, sebar video ‘swinger’ di X

Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Kamarulnazri Desa @ Yahaya mengaku bersalah.

gavel
Kamarulnazri Desa @ Yahaya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah atas empat tuduhan menyebar serta menjual kandungan lucah yang memaparkan kegiatan seks secara berkumpulan dan bertukar-tukar pasangan, atau swinger. (Gambar fail)
ALOR SETAR:
Seorang tukang sapu didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan menyebar serta menjual kandungan lucah yang memaparkan kegiatan seks secara berkumpulan dan bertukar-tukar pasangan, atau swinger, dari bulan Januari hingga Februari lalu.

Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhi hukuman itu selepas Kamarulnazri Desa @ Yahaya, 45, mengaku bersalah.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara enam bulan bagi setiap kesalahan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Dia didakwa menggunakan aplikasi X untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang sumbang sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 26 Jan dan 4 Feb lepas mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kamarulnazri juga didakwa menggunakan aplikasi X untuk memberikan komunikasi lucah iaitu video melalui pautan aplikasi Telegram bagi maksud komersial kepada orang lain pada 8 dan 17 Feb lepas mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semua kandungan dilihat di IPD Kubang Pasu, Jitra pada 20 Feb lepas pada 11.10 hingga 11.30 pagi.

Tertuduh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Faten Hadni Khairuddin manakala Kamarulnazri tidak diwakili peguam.

Difahamkan tertuduh tidak dapat membayar denda dan akan menjalani hukuman penjara berjumlah dua tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.