Permohonan keluarga penyerang balai Ulu Tiram dibicara bersama didengar 20 Jan

Permohonan keluarga penyerang balai Ulu Tiram dibicara bersama didengar 20 Jan

Hakim menetapkan tarikh itu selepas pendakwaan memohon semua kes dihadapi lima tertuduh perlu dibicarakan bersama kerana mempunyai kaitan.

balai polis ulu tiram
Pada Jun lalu, lima sekeluarga itu didakwa di atas sembilan pertuduhan berasingan termasuk menggalak perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Daesh.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 20 Jan depan bagi mendengar permohonan pendakwaan agar kes lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor, yang berdepan sembilan pertuduhan berasingan berkaitan keganasan, dibicarakan bersama.

Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan memohon agar kesemua kes dihadapi kelima-lima tertuduh perlu dibicarakan bersama kerana mempunyai kaitan antara satu sama lain.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, pihak pendakwaan akan menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,” kata Yazid Mustaqim pada sebutan kes itu hari ini.

Kelima-lima mereka terdiri daripada bapa penyerang berkenaan Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62; ibunya Rosna Jantan, 59; dan tiga adik-beradiknya Radin Romyullah Radin Imran, 34; Farhah Sobrina Radin Imran, 23; dan Mariah Radin Imran, 19.

Sementara itu peguam Faizal Rahman yang mewakili kesemua tertuduh berkata pihaknya masih belum membuat keputusan sama ingin membantah permohonan pendakwaan untuk kes dibicarakan bersama atau sebaliknya, namun akan memfailkan afidavit jawapan selepas menerima kesemua dokumen berkaitan kes.

Pada 30 Sept lepas, di hadapan Hakim Noorin Badaruddin (kini Hakim Mahkamah Rayuan), Rosna mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei lepas.

Sementara itu pada 16 Okt lepas di hadapan Hakim K Muniandy, Radin Romyullah juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru.

Pada 23 Okt lepas, Radin Imran mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azhar Abdul Hamid.

Di hadapan hakim sama pada tarikh sama (23 Okt) anak perempuan Radin Imran, Farhah Sobrina turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan kesalahan-kesalahan berkaitan Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan.

Dalam serangan di balai polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang penyerang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.