
Peguam Latheefa Koya yang mewakili bapa mendiang, S Joseph, berkata Hakim Idah Ismail menolak saman itu dengan kos RM10,000.
“Setelah mendengar keterangan saksi plaintif dan defendan serta meneliti dokumen difailkan oleh pihak-pihak, mahkamah memutuskan dengan imbangan kebarangkalian dan berpuas hati tuntutan plaintif terhadap defendan ditolak.
“Oleh itu, plaintif perlu membayar kos RM10,000 kepada semua defendan,” kata Latheefa ketika dihubungi Bernama selepas keputusan disampaikan menerusi e-mel hari ini.
Sementara itu, Latheefa berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Semua defendan diwakili Peguam Persekutuan, Abdul Hakim Abdul Karim.
Lapan saksi plaintif, termasuk dua abang kandung Soosaimanicckam serta sembilan saksi defendan memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula 8 Mac lalu.
Saman itu difailkan Joseph selaku plaintif terhadap 11 individu, termasuk pegawai TLDM, panglima TLDM, Majlis Angkatan Tentera Malaysia, menteri pertahanan dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga ke-15 atas dakwaan cuai.
Menerusi saman difailkan pada 19 Mei 2021, keluarga Soosaimanicckam mendakwa kecuaian berlaku di pihak defendan kerana gagal memberi rawatan kecemasan apabila pegawai kadet itu rebah pada hari kejadian dan cuai dalam memantau kesejahteraan serta kesihatannya semasa sesi latihan.
Pada 29 Julai lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan kematian Soosaimanicckam kes homisid dan punca kematian akibat langsung daripada tindakan pegawai TLDM bertanggungjawab bagi latihan kadet yang menafikan rawatan perubatan kepadanya.