SAPP mungkin dalam dilema kerjasama GRS-PH, kata penganalisis

SAPP mungkin dalam dilema kerjasama GRS-PH, kata penganalisis

Penganalisis berkata ini kerana SAPP sebelum ini keluar PN kerana mahu semua parti tempatan bertanding PRN Sabah tahun depan.

Kelmarin, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee isytihar partinya keluar PN selepas empat tahun dalam gabungan itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Prinsip Parti Maju Sabah (SAPP) yang hanya mahu parti tempatan bertanding di semua 73 kerusi DUN pada PRN mungkin membuatkan parti itu dalam dilema jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis.

Bilcher Bala dan Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpendapat ini kerana SAPP bakal berdepan cabaran mempertahankan prinsipnya jika parti nasional dari PH seperti DAP serta PKR bertanding di negeri itu menerusi kerjasama terbabit.

Kelmarin, SAPP dikepalai bekas ketua menteri Yong Teck Lee mengumumkan keluar Perikatan Nasional (PN) selepas gabungan itu mahu bertanding dalam PRN Sabah yang didakwa bertentangan prinsip supaya semua 73 kerusi DUN ditandingi parti tempatan.

Bercakap kepada FMT, Bilcher berkata keadaan itu mungkin membuat parti itu tersepit kerana di satu sudut SAPP berpegang teguh kepada prinsip MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) menekankan kepentingan parti tempatan.

“Namun keputusan itu juga menimbulkan cabaran bagi kelangsungan politiknya di Sabah, jadi ini menunjukkan betapa pentingnya bagi parti tempatan menyeimbangkan antara prinsip dan ‘survival’.

“SAPP tidak boleh membuat gesaan kepada GRS untuk menolak PH dan mengutamakan parti tempatan dalam PRN Sabah, tetapi kena buat pertimbangan dengan teliti mengambil kira realiti politik semasa untuk membawa kestabilan,” katanya.

Semalam, Pengerusi GRS Hajiji Noor mengulangi komitmen gabungan dianggotai lapan parti itu untuk bekerjasama dengan PH dengan perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH.

Selain SAPP, komponen GRS terdiri Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Menyentuh isu itu, Bilcher berkata dalam membuat keputusan terbabit GRS yang 100% dianggotai parti tempatan perlu menilai sama ada kerjasama dengan PH dapat memanfaatkan rakyat Sabah atau sebaliknya.

Romzi pula berpendapat SAPP perlu membuat desakan sama kepada GRS dan jika berjaya mungkin membolehkannya bertanding di beberapa kerusi termasuk di Likas yang pernah menjadi kubu kuat Yong ketika bersama Barisan Nasional (BN).

“Jika GRS tanding 73 kerusi mungkin SAPP dapat dua atau tiga kerusi tetapi kalau ada kerjasama dengan gabungan lain seperti PH-BN, parti itu tiada peluang untuk dapat satu kerusi pun,” ujarnya.

Sementara itu, Lee Kuok Tiung, juga dari UMS berpendapat SAPP sebagai antara pengasas GRS mungkin mahu mengikut jejak langkah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Mengikuti perkembangan SAPP yang mengadvokasi parti tempatan bertanding PRN17 sebenarnya kita boleh baca tindakan mereka.

“Sekiranya kita ambil GPS Sarawak sebagai model maka jawapannya adalah tidak perlu (kerjasama parti tempatan dengan parti nasional),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.