
Razarudin Husain beri jaminan siasatan akan dijalankan dengan teliti dan telus.
Mengulas catatan media sosial mendakwa seorang anggota polis menunjukkan isyarat lucah kepada seorang wanita, Razarudin berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman telah memulakan siasatan.
Beliau berkata pihaknya belum terima sebarang laporan mengenai kejadian itu, dan menyeru wanita terbabit tampil membuat laporan bagi memudahkan siasatan.
“Jika ada mangsa lain yang mengalami insiden sama turut diminta tampil dan membuat laporan polis,” katanya lapor Bernama.
Sebelum ini, tular catatan media sosial oleh seorang wanita yang mendakwa seorang anggota polis menunjukkan isyarat lucah kepadanya, ketika mengambil gambar dalam satu himpunan berkaitan hak asasi manusia di ibu negara pada Jumaat lepas.
Wanita berkenaan mendakwa isyarat yang ditujukan kepadanya itu diulang beberapa kali oleh anggota polis terbabit bagi memastikan ia dapat dilihat.