8 sekolah dipilih jadi pusat pemindahan kekal bencana

8 sekolah dipilih jadi pusat pemindahan kekal bencana

Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata dua daripadanya dalam pembinaan, iaitu SK Seri Medan di Batu Pahat serta SK Gual Tinggi di Pasir Mas.

Ahmad Maslan
Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan (tiga dari kanan) meninjau pembinaan tapak simulasi bencana bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) di Markas SMART, Pulau Meranti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lapan sekolah di Semenanjung Malaysia dipilih untuk pembinaan dewan terbuka pusat pemindahan kekal bencana (PPKB) dalam kawasan sekolah, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan.

Beliau berkata, dua daripadanya dalam pembinaan, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan di Batu Pahat serta SK Gual Tinggi di Pasir Mas.

Katanya, enam lagi dalam proses perancangan, iaitu SK Banggol Peradong di Terengganu, SK Benta Kuala Lipis di Pahang, SK Perwira Teluk Intan di Perak, SK Machang Bubok Bukit Mertajam di Pulau Pinang, SK Sungai Kelamah Tampin di Negeri Sembilan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai di Kupang, Kedah.

Menurutnya, pembinaan pusat pemindahan banjir itu ialah projek Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

Pusat simulasi bencana

Ahmad berkata, pembinaan tapak simulasi bencana bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) di Pulau Meranti kini mencapai kemajuan 99% dan dijangka siap sepenuhnya Februari depan.

Katanya, ia bakal menjadi pusat simulasi bencana pertama di Malaysia serta kedua di rantau Asean selepas Singapura.

Menurutnya, projek bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor itu menelan belanja lebih RM30 juta.

“Pusat ini membuat simulasi bencana supaya Malaysia sentiasa dalam keadaan bersedia sewaktu berhadapan dengan pelbagai situasi bencana dan kecemasan,” katanya menurut Harian Metro selepas meninjau kemajuan projek itu di Markas SMART, Pulau Meranti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.