IMF puji pembaharuan ekonomi Malaysia

IMF puji pembaharuan ekonomi Malaysia

Tetapi, Tabung Kewangan Antarabangsa menekankan keperluan mempercepatkan pembaharuan bagi mewujudkan ekonomi lebih inklusif dan berdaya tahan.

kl skyline
Tabung Kewangan Antarabangsa berkata pelan pembaharuan struktur kerajaan di bawah Rangka Kerja Ekonomi Madani difokuskan dengan sewajarnya.
KUALA LUMPUR:
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memuji pembaharuan ekonomi Malaysia, khasnya pengenalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 serta kejayaan melaksanakan pembaharuan subsidi elektrik dan diesel.

Menurutnya, ia turut menekankan keperluan mempercepatkan pembaharuan ini bagi mewujudkan ekonomi lebih inklusif dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.

“Prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh memberikan negara peluang untuk memajukan agenda reformasi bercita-cita tinggi.

“Pelan pembaharuan struktur kerajaan di bawah Rangka Kerja Ekonomi Madani difokuskan dengan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

IMF berkata, pandangannya berdasarkan penemuan awal pasukannya selepas mengadakan lawatan ke Malaysia baru-baru ini.

FRA adalah pencapaian penting bagi pengurusan dan tadbir urus fiskal menunjukkan dalam menghadapi persekitaran global semakin tidak menentu, ada keperluan membina semula penampan fiskal, menambah potensi pertumbuhan dan mengukuhkan perlindungan sosial, pada masa sama mengekalkan kestabilan makroekonomi serta kewangan.

Bagi pertumbuhan ekonomi, IMF berkata, prestasi ekonomi Malaysia meningkat dengan ketara pada 2024, disokong permintaan dalam dan luar negeri yang kukuh.

Bagaimanapun, pertumbuhan diunjurkan menyederhana daripada 5% pada 2024 kepada 4.7% pada 2025, mencerminkan pertumbuhan pelaburan sederhana dan ketidaktentuan global semakin meningkat.

“Risiko kepada penurunan pertumbuhan yang dijangka terutamanya disebabkan prospek global tidak menentu termasuk risiko luaran daripada faktor geoekonomi.

“Sementara itu, risiko peningkatan mungkin timbul daripada pelaksanaan projek pelaburan besar lebih pantas daripada jangkaan di Malaysia.”

IMF juga berkata, pendirian dasar monetari neutral semasa adalah wajar dan sektor kewangan Malaysia kekal kukuh dengan kedudukan modal serta mudah tunai bank yang kukuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.