
Mengulas cita-cita Parti Impian Sabah (PIS), penganalisis menyenaraikan beberapa cabaran antaranya meraih sokongan secukupnya di DUN untuk meminda perlembagaan negeri.
“PIS perlu menang terlebih dahulu, menubuhkan kerajaan dan seterusnya mampu meyakini Adun dengan majoriti 2/3 diperoleh bagi meminda perlembagaan negeri,” kata Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara kepada FMT.
Buat masa ini, Tony melihat idea itu sekadar ‘umpan’ menuju PRN Sabah.
“Ia cadangan yang munasabah namun perlu melalui pindaan perlembagaan negeri untuk merealisasikannya.”
Sistem penggiliran jawatan ketua menteri bagi setiap dua tahun dilaksanakan pada 1994 dan dimansuhkan pada 2004.
Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah berkata, idea mengehadkan perkhidmatan seseorang ketua menteri kepada dua penggal adalah relevan pada masa kini.
Syahruddin berkata, PIS mengutarakan idea itu ketika tiada mana-mana parti mendominasi politik Sabah.
“Akan tetapi parti ini masih baharu dan kecil malah memerlukan sokongan parti lain yang bersetuju dengan ideanya,” katanya.
PIS yang diluluskan pendaftaran pada Disember 2023 diketuai Michel Alok selaku presiden.
Menurut laporan media, PIS berhasrat untuk bertanding 73 kerusi.
Pada sidang media selepas mesyuarat agung dwitahunan pertama parti itu kelmarin, PIS mencadangkan had jawatan ketua menteri dan anggota Jemaah Menteri negeri kepada dua penggal sahaja, jika diberi mandat menjadi kerajaan pada PRN17, lapor Utusan Malaysia.
Cadangan itu bagi menampilkan PIS sebagai pilihan alternatif kepada rakyat Sabah, menurut laporan itu.