
Beliau dilapor berkata tindakan Samsuri di luar pengetahuan parti, dan hanya diketahui menerusi kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan pusat.
“PAS sendiri tidak mengetahui sebab sebenar beliau mengambil keputusan itu tetapi saya rasa beliau pasti mempunyai sebab yang munasabah,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Di sebalik dakwaan PN sedang bergolak susulan peletakan jawatan Samsuri, Amar berkata hubungan antara parti politik dalam PN ‘masih seperti biasa’ dan ‘tiada sebarang masalah’.
Samsuri adalah naib presiden PAS.
Media rasmi PAS, Harakahdaily, melaporkan peletakan jawatan Samsuri pada Rabu. Ia menyifatkan perkembangan itu sebagai ‘agak mengejutkan’ memandangkan Samsuri antara ‘tokoh utama’ dan ‘pemimpin berprofil tinggi’ dalam parti itu.
Ia berlaku dua hari selepas pengumuman pelantikan beberapa pemimpin Bersatu ke jawatan penting dalam PN, iaitu Timbalan Presiden Hamzah Zainudin sebagai timbalan pengerusi, Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu (ketua penerangan) serta Ronald Kiandee dan Radzi Jidin (anggota majlis tertinggi), Setiausaha Agung Azmin Ali (setiausaha agung), dan Ketua wanita Mas Ermieyati Samsudin (ketua Wanita).
Samsuri tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu dan PN belum mengeluarkan kenyataan rasmi.
Sumber FMT yang mengetahui perjalanan mesyuarat tertinggi PN, Isnin lalu, mendakwa senarai nama pelantikan jawatan utama dalam gabungan berkenaan telah disusun lebih awal tanpa ada perbincangan.
Pemimpin PAS lain yang memegang jawatan dalam PN adalah Presiden Hadi Awang sebagai timbalan pengerusi, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man (anggota majlis tertinggi), Naib Presiden Idris Ahmad (anggota majlis tertinggi), Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan (timbalan setiausaha agung), Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden (ketua Pemuda), dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Sanusi Nor (ketua pengarah pilihan raya).