
Naib Presiden Amar Abdullah berkata parti itu mengetengahkan calon daripada Muslimat PAS namun tidak dipilih pengundi untuk mewakili mereka.
“Ia bukan soal tidak ada calon. Muslimat setiap tahun pun calonnya ramai tapi tidak mendapat undi, tidak cukup jumlah. Jika tidak, ramai sebenarnya wakil rakyat di Parlimen atau DUN daripada sayap Muslimat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung tahunan sayap Wanita PAS di Kompleks PAS Kedah.
Amar menegaskan PAS tiada halangan untuk ketengahkan lebih ramai calon daripada sayap wanita pada PRU akan datang.
Pada masa sama, kekalahan calon wanita menekankan betapa penting usaha ‘menggembleng kesedaran’, agar rakyat rakyat beri peluang dan “mengundi lebih ramai calon daripada Muslimat”.
Sementara itu, Ketua Wanita Nuridah Salleh berkata Muslimat PAS sentiasa bersedia untuk menyahut cabaran pilihan raya.
“Calon wanita tetap akan dihantar, namun akhirnya parti yang membuat keputusan. Insya-Allah memang kita berharap agar ada penambahan calon muslimat pada PRU akan datang,” katanya.
Tajuk kecil: Musuh cuba laga tapi kekal kerjasama
Dalam pada itu, Amar menolak anggapan kemahuan Pemuda PAS yang mahu parti itu memimpin Perikatan Nasional dan menerajui kepimpinan negara apabila menang pilihan raya kelak boleh menjejaskan kesepaduan pembangkang.
Beliau berkata hasrat itu harus diraikan sebagai lumrah demokrasi, menepis ia menggambarkan perpecahan dalam PN.
“Musuh di luar mereka nak lagakan. Ambil kesempatan itu mereka punya hal tapi kita kekal bekerjasama,” katanya.
Pemuda PAS semalam sebulat suara meluluskan usul menggesa parti itu membuat persiapan untuk mengetuai PN, dan sekali gus menampilkan calon perdana menteri, berdasarkan kekuatan politik semasa yang jelas, lapor Berita Harian.
Usul tersebut mengatakan PAS menunjukkan kesediaan untuk memainkan peranan sebagai ‘parti teras’, berdasarkan pengalaman mentadbir beberapa negeri, kekuatan jentera akar umbi, dan konsistensi ideologi.
Pada 7 Sept lalu, perhimpunan agung tahunan Bersatu meluluskan usul menamakan Presiden Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri daripada parti itu.
Amar mengingatkan bahawa parti hanya boleh mencadangkan nama perdana menteri tetapi sultan dan Agong yang menentukan.
“Kita kena hormati sensitiviti itu… bagi kami, kita tak perlu gopoh-gapah,” katanya.