10 ketua cawangan Bersatu Shah Alam tak jadi keluar parti

10 ketua cawangan Bersatu Shah Alam tak jadi keluar parti

Dikatakan 75 perwakilan yang hadir pada suatu pertemuan petang tadi sebulat suara tidak setuju 10 daripada 15 cawangan dibubarkan.

fadzil giman
Ketua Bersatu Cawangan Seksyen 13, Mohamad Fadzil Ahmad (kanan), bersama Ketua Cawangan Kampung Kebun Bunga, Mohamad Anuar Giman, pada sidang media petang tadi.
SHAH ALAM:
Selepas menggertak keluar parti dan membubarkan cawangan Bersatu Bahagian Shah Alam, sekumpulan ketua cawangan membuat pusingan-U petang apabila hasrat itu ditolak perwakilan.

Ketua Cawangan Seksyen 13, Mohamad Fadzil Ahmad yang juga calon ketua bahagian berkata kira-kira 75 perwakilan yang hadir suatu pertemuan petang tadi sebulat suara tidak bersetuju 10 daripada 15 cawangan dibubarkan, selain mendesak beliau meneruskan perjuangan pada pemilihan akan datang.

“Setakat ini tak jadi, sebab sebentar tadi kita dapat sokongan dari semua perwakilan yang hadir, mereka minta saya teruskan perjuangan ini,” kata Fadzil pada sidang media.

Semalam, FMT melaporkan Ketua Cawangan Kampung Kebun Bunga, Mohamad Anuar Giman, memaklumkan 10 ketua cawangan dijangka umum keluar parti selepas tidak berpuas hati persidangan yang dijadual pada petang ini untuk memilih pimpinan bagi penggal 2024-2027 ditangguhkan pada saat akhir.

Surat penangguhan dikeluarkan Setiausaha Agung Azmin Ali malam tadi dengan alasan siasatan lembaga disiplin berhubung kejadian rusuhan pada persidangan 2 Nov lalu masih berjalan.

Azmin menjelaskan siasatan yang turut membabitkan calon bertanding menyebabkan majlis pimpinan tertinggi (MPT) memutuskan persidangan Bersatu Shah Alam ditangguhkan.

Namun, Anuar yang juga bekas ahli jawatankuasa Bersatu Shah Alam mendakwa tindakan membatalkan persidangan pada saat-saat akhir itu sebenarnya dibuat untuk membantu calon tertentu yang disokong seorang Adun Bersatu.

Mengikut surat dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bertarikh 9 Dis, Bersatu Shah Alam diminta mengadakan persidangan semula hari ini dengan pasukan mengendalikan pemilihan juga telah dilantik.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata pihaknya meminta JPP serta ibu pejabat menyiasat kotak undi pertama sebelum membuat keputusan disiplin terhadap mana-mana individu.

“Kami menganggap siasatan (pada 2 Nov) telah selesai maka keluarlah surat mengatakan ada persidangan semula (hari ini). Sebab itu kami tak faham mengapa ia masih lagi nak ditunda?

“Kami minta JPP siasat kotak undi pertama kerana itu saja bahan bukti yang ada,” katanya.

Bersatu Shah Alam bubar jika AJK letak jawatan

Sementara itu, Ketua Bersatu Shah Alam Hamidi Bakar ketika ditemui FMT menjelaskan bahagian itu masih berjalan seperti biasa kerana tiada seorang pun ahli jawatankuasa (AJK) meletak jawatan atau keluar parti.

“Saya sebagai ketua bahagian dah maklumkan kepada pusat yang kita menerima penundaan hari ini dan AJK Bahagian masih dalam parti jadi tak ada isu Bersatu Shah Alam terbubar.

“Untuk bubar parti, kena AJK menarik diri tapi itu tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu penjelasan lanjut dari ibu pejabat dan menunggu tarikh baharu persidangan.

“Pejabat SUA maklumkan siasatan ambil masa kerana melibatkan laporan disiplin, jadi kita minta semua bersabar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.