
Profesor ekonomi di Universiti Malaya, Rajah Rasiah, berkata subjek STEM kritikal dalam melahirkan tenaga kerja yang boleh mengendalikan revolusi perindustrian keempat (fourth industrial revolution atau IR 4.0).
TVET pula penting untuk membangunkan kemahiran praktikal bagi pelbagai industri dan keusahawanan, khususnya dalam bidang seperti daya tahan iklim dan pendigitalan, katanya.
Rajah menambah TVET juga melatih pelajar yang berminat menjadi usahawan atau mahu melancarkan pemula syarikat.
“Subjek TVET dan STEM penting untuk bukan sahaja membantu Malaysia berubah menjadi ekonomi maju tetapi juga membantu tenaga buruh menikmati gaji median yang tinggi,” katanya kepada FMT.
Rajah seterusnya berkata terdapat risiko pengangguran yang lebih tinggi dalam kalangan mereka yang belajar untuk pengkhususan dalam pekerjaan tertentu, berbanding mereka yang mempelajari subjek TVET, yang menyediakan latihan amali kepada pelajar sambil mengejar sijil.
Beliau juga berkata terdapat keperluan untuk memperbetulkan persepsi kononnya sistem TVET bertujuan untuk mempersiapkan pelajar untuk pekerjaan yang kotor, berbahaya dan sukar (dirty, dangerous, and difficult atau 3D).
“Di Jerman dan Jepun, TVET dipandang tinggi dan memainkan peranan penting dalam membangunkan pekerja mahir.”
Rajah juga berkata perniagaan mesti menyokong inisiatif kerajaan berhubung TVET dan STEM dengan merekrut pelatih dari sekolah berkaitan, sepertimana yang diamalkan di Jerman dan Jepun secara meluas, katanya.
Pada masa ini terdapat ‘kelompangan’ dalam usaha mendapatkan pelajar untuk bekerja sebagai pelatih di industri berkaitan, dan mencadangkan agar institusi pembelajaran menyediakan elaun untuk menggalakkan penyertaan yang lebih baik.
Madeline Berma, felo kanan di Institut Masa Depan Malaysia, berkata subjek STEM dan TVET memberi pulangan pelaburan kepada ekonomi dan sosial, terutama dari segi prospek pendapatan dan kestabilan kerjaya.
Menurut Madeline, pasaran buruh didominasi oleh pekerjaan separa mahir, yang membentuk 62.5% daripada tenaga kerja pada suku kedua 2024.
Pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi, bagaimanapun, kekal rendah pada 25%.
“Negara mesti meningkatkan bilangan pekerja berkemahiran tinggi kepada lebih daripada 45% menjelang 2030 untuk bersaing dengan negara maju yang lain,” katanya sambil menambah graduan STEM dan TVET menikmati kadar kebolehpasaran yang tinggi.
Madeline seterusnya berkata bahawa kesan globalisasi, kemajuan teknologi, dan krisis seperti Covid-19 ke atas tenaga buruh sekali lagi membuktikan betapa pentingnya STEM dan TVET.
“Pelajar (yang mengambil mata pelajaran STEM dan TVET) akan mampu bertahan kerana mereka melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran yang diperlukan seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan inovasi.”