RCI Batu Puteh: Tiada dendam terhadap Dr M, kata PM

RCI Batu Puteh: Tiada dendam terhadap Dr M, kata PM

Anwar Ibrahim kata pasukan petugas khas berkait Batu Puteh ditubuhkan sebelum pentadbiran beliau iaitu ketika Ismail Sabri Yaakob menerajui Putrajaya.

anwar ibrahim n mahathir
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sangkal dakwaan ada unsur dendam di sebalik syor RCI berkait isu kedaulatan Batu Puteh.
PUTRAJAYA:
Syor laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) supaya siasatan jenayah dimulakan terhadap Dr Mahathir Mohamad berkait isu kedaulatan Batu Puteh tiada unsur dendam, tegas Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata jawatankuasa pasukan petugas khas berkaitan ditubuhkan sebelum pentadbiran beliau, iaitu ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

“Tak timbul pun (dendam). Jawatankuasa pasukan khas itu dibuat sebelum saya.

“Itu masa Ismail perdana menteri, menterinya Hamzah Zainudin, Takiyuddin Hassan dan dapatannya lebih teruk lagi… jadi tak usahlah (jadikan isu),” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan suatu pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh pada 9 Okt 2021.

Semalam, Hamzah yang juga ketua pembangkang mempersoalkan desakan supaya tindakan diambil terhadap Mahathir seorang, dan mendakwa wujud unsur dendam dan berniat jahat terhadap seseorang.

Tegasnya, semua ahli Jemaah Menteri terbabit dalam pengendalian penyerahan kedaulatan Batu Puteh sewaktu pentadbiran Mahathir pada Mei 2018 wajar dihukum.

Laporan RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh yang dinyahklasifikasi pada 5 Dis mendedahkan kerajaan di bawah pentadbiran Mahathir secara sepihak membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun sama.

“Ini soal wilayah mana boleh (ambil ringan). Ada kah negara yang mengizinkan begitu mudah serah (kedaulatan)? Tak boleh, itu prinsip,” tegas Anwar.

“Saya tak cadang apa-apa (tindakan terhadap Mahathir). Itu saya serah kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Semalam, Mahathir pada sidang media menjelaskan beliau tidak membuat keputusan sepihak, sebaliknya hanya menyuarakan pendapat dan ia dilakukan atas persetujuan Jemaah Menteri ketika itu.

Menurutnya, antara yang hadir dalam mesyuarat Jemaah Menteri itu adalah timbalan perdana menteri ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail; Muhyiddin Yassin selaku menteri dalam negeri, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Bagaimanapun, Azizah, Loke dan Mohamad dalam kenyataan semalam berkata mereka tidak diberi ruang menyuarakan pendirian mengenai pengendalian pertikaian kedaulatan Batu Puteh, sebaliknya ia dibuat Mahathir sendiri tanpa membincangkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Hamzah mempersoalkan kenyataan tiga pemimpin terbabit dan mahu mereka bertanggungjawab bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.