Penjenayah paling dikehendaki ditembak mati di Kelantan

Penjenayah paling dikehendaki ditembak mati di Kelantan

Polis turut menemui sepucuk pistol semi auto, pistol tiruan, sebilah parang dan sebungkus tembakau dalam kenderaan dipandu suspek.

Beberapa anggota polis melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian membabitkan seorang penjenayah mempunyai 24 rekod lampau yang ditembak mati di Pasir Puteh, pagi tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penjenayah paling dikehendaki yang mempunyai 24 rekod lampau ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Jeram Pasu, Pasir Puteh, pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Yusoff Mamat, berkata sebelum kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kelantan mengadakan operasi cegah jenayah sebelum mengesan suspek menaiki kereta Perodua Bezza.

Katanya, polis kemudiannya mengejar suspek dari Melor, Kota Bharu sebelum lelaki terbabit memecut kenderaannya dan diekori sehingga ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dengan keluar dari tempat duduk pemandu dan terus menembak ke arah anggota polis.

“Dalam usaha mempertahankan diri, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan dan suspek maut di lokasi kejadian,” katanya, menurut Berita Harian.

Yusoff berkata suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta itu memiliki 17 rekod jenayah dan tujuh kes berkaitan narkotik.

“Berdasarkan pemeriksaan dalam kereta suspek, polis menemui sepucuk pistol semi auto, pistol tiruan, sebilah parang dan sebungkus tembakau yang dipercayai untuk diseludup masuk ke dalam penjara.

“Mayat dihantar ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh untuk bedah siasat.

“Polis akan melakukan siasatan lanjut sekiranya terdapat suspek lain dalam kes berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.