Bekas CEO dipenjara 2 tahun, denda RM1.3 juta terima suapan pembekalan bot

Bekas CEO dipenjara 2 tahun, denda RM1.3 juta terima suapan pembekalan bot

Mohd Fariz Mohd Ali, 42, didapati bersalah melakukan perbuatan itu tujuh tahun lepas.

fariz ali
Mohd Fariz Mohd Ali, 42, didapati bersalah menerima suapan tunai bernilai keseluruhan RM260,000 daripada LEC Impressions Sdn Bhd pada 2017. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dipenjara dua tahun dan denda RM1.3 juta selepas didapati bersalah atas empat tuduhan menerima suapan RM260,000 bagi kerja pembekalan bot Melaka River Cruise (MRC) tujuh tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Fariz Mohd Ali, 42, selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah untuk mematahkan anggapan mengikut Seksyen 51 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Elesabet memutuskan hukuman denda berjumlah RM1.3 juta bagi semua tuduhan dan penjara dua tahun bagi setiap tuduhan pertama dan kedua serta masing-masing setahun bagi dua lagi tuduhan.

Beliau memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak bermula hari ini.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dengan jaminan dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM60,000.

Mengikut keempat-empat tuduhan pindaan, Mohd Fariz yang ketika itu pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan Produk PPSPM didakwa menerima suapan tunai bernilai keseluruhan RM260,000 daripada LEC Impressions Sdn Bhd.

Wang itu diberikan sebagai upah untuk tertuduh mencadangkan agar syarikat berkenaan memperoleh projek membekal 10 buah bot MRC kepada PPSPM.

Kesalahan didakwa dilakukan di depan sebuah premis mencuci kereta di Taman Peringgit Jaya dan di sebuah rumah di Taman Puncak Bertam antara 4 Jan hingga 6 Mac 2017 mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Mohd Fariz merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya tidak lagi memegang jawatan berkenaan selain mempunyai tanggungan serta masalah kesihatan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal memandangkan jumlah suapan adalah tinggi selain tertuduh merupakan penjawat awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.