Batu Puteh: Kerajaan rancang nyah rahsia laporan pasukan petugas khas

Batu Puteh: Kerajaan rancang nyah rahsia laporan pasukan petugas khas

Jurucakap kerajaan kata hasil laporan petugas khas adalah sama dengan syor yang dikemukakan oleh RCI.

batu puteh
Laporan akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengandungi syor-syor mengenai hala tuju kerajaan. (Gambar AFP)
PUTRAJAYA:
Jemaah Menteri rancang untuk nyah rahsia laporan akhir pasukan petugas khas yang ditubuhkan pada 2021 untuk mengkaji dan membuat syor berhubung isu Batu Puteh, termasuk semakan undang-undang.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa Suruhanjaya Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan merujuk kepada pasukan tersebut dalam laporannya.

Menurutnya, laporan tersebut berkisar hasil siasatan suatu pasukan khas yang ditubuh pada 29 Okt 2021, yang membentangkan laporan akhir kepada Jemaah Menteri pada 7 Okt 2022.

“Hasil laporan petugas khas adalah sama dengan syor yang dikemukakan oleh RCI. Kedua-dua mendapati perkara sama,” katanya pada sidang media.

“Laporan petugas khas mengesyorkan pendakwaan berdasarkan misfeasans oleh seorang pegawai awam. Ini juga apa yang disyorkan RCI.”

Pada 2 Okt 2022, menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata laporan akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengandungi syor-syor mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan.

Pasukan itu terdiri daripada peguam yang mengendalikan kes berkenaan, pengamal undang-undang, pakar pengukuran maritim, serta wakil kementerian atau jabatan yang berkepentingan.

Ia memfokus kepada aspek perundangan dan hubungan Malaysia-Singapura, katanya.

Laporan RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh yang dinyah rahsia pada 5 Dis mendedahkan kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad secara sepihak membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.

Semalam, Mahathir pada sidang media menjelaskan beliau tidak membuat keputusan sepihak, sebaliknya hanya menyuarakan pendapat dan ia dilakukan atas persetujuan Jemaah Menteri ketika itu.

Bagaimanapun, timbalan perdana menteri ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Loke Siew Fook yang memegang portfolio pengangkutan, dan Mohamad Sabu (pertahanan) berkata mereka tidak diberi ruang menyuarakan pendirian mengenai pengendalian pertikaian kedaulatan Batu Puteh, sebaliknya ia dibuat Mahathir sendiri tanpa membincangkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mempersoalkan kenyataan tiga pemimpin terbabit dan mahu mereka bertanggungjawab bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.