
Harian Metro melaporkan Jamiyana Ab Aziz, 38, mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan yang dibacakan secara bersama rakannya, Abd Aziz Alhaffiz Ali, 36, yang tidak mengaku bersalah di depan Hakim Nariman Badruddin.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, ibu seorang anak itu didakwa bersama rakan lelakinya merompak wang tunai RM620, jam tangan dan telefon bimbit tiga warga asing dalam sebuah kereta di depan pasar raya di Tanjung Agas, Tangkak hingga Kampung Sabak Aur di Muar antara 2.30 hingga 5 petang 17 Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan keempat hingga keenam, mereka didakwa bersama merompak cincin, subang dan rantai leher dua warga asing dalam kereta di Parit Zin Bakri, Batu 6, Muar antara 5 hingga 6 pagi 5 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan atau denda bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ariff Marzuki, manakala Jamiyana tidak diwakili peguam dan rakan lelakinya diwakili peguam Syafiee Naim dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Selepas mendengar hujahan dan rayuan tertuduh, hakim menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi pertuduhan pertama hingga ketiga dan lima tahun untuk baki tiga pertuduhan yang berjalan serentak mulai tarikh ditangkap 19 Ogos lalu.
Perbicaraan rakan lelakinya pula ditetapkan 27 Jan depan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh lelaki dan wanita itu menaiki sebuah kereta dengan menyasarkan warga asing di pasar raya.
Tertuduh wanita akan mendekati warga asing dan menawarkan khidmat menghantar pulang dengan bayaran tertentu. Selepas mangsa setuju, mereka akan membawanya ke sebuah tempat sebelum mengacukan pistol mainan ke arah warga asing dan mengambil barangan berharga mereka.
Siasatan awal polis mendapati dua tertuduh merompak warga asing untuk mendapatkan wang membeli dadah. Semua mangsa bersama membuat laporan di Balai Polis Ledang, Tangkak dan Bakri pada 19 serta 22 Ogos lalu.