Tiada kemungkinan LRT P Pinang dibatal kerajaan baharu, kata Rafizi

Tiada kemungkinan LRT P Pinang dibatal kerajaan baharu, kata Rafizi

Menteri ekonomi berkata, apabila tender diberikan dan kontraktor dilantik, sesuatu projek tidak boleh dibatalkan kerana kerajaan boleh disaman.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata segala keputusan penting telah dibuat Putrajaya dan semua proses dilalui supaya tender projek LRT Pulau Pinang boleh diberikan secepat mungkin. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Tiada kemungkinan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang dibatalkan, walaupun terdapat pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, segala keputusan penting telah dibuat kerajaan persekutuan buat masa ini dan semua proses dilalui supaya tender boleh diberikan secepat mungkin.

“Kerajaan persekutuan sekarang saya rasa akan kekal sehingga akhir penggal. Menjelang akhir penggal, semua pemberian tender akan selesai.

“Oleh itu, saya tidak rasa ada kerajaan yang boleh ‘membalikkan’ keputusan itu kerana jika dibatalkan, kerajaan perlu membayar pampasan kepada kontraktor. Berdasarkan kemajuan yang ada sekarang, saya rasa itu yang akan berlaku,” katanya pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 di sini.

Menurutnya, projek infrastruktur mempunyai proses, iaitu bermula dengan kelulusan dasar, bajet, perolehan dan kemudian pemberian tender sebelum kerja bermula.

Sebelum pemberian tender berlaku, katanya, kerajaan masih boleh membatalkan sesuatu projek itu kerana ia belum membabitkan komitmen kerajaan kepada pihak swasta atau kontraktor.

“Namun, apabila tender diberikan dan kontraktor telah dilantik, selalunya ia tidak boleh dibatalkan kerana kerajaan boleh disaman. Risiko sekarang hanyalah kenaikan kos ataupun kelewatan siap, tetapi pembatalan tidak semudah itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.