Pasangan kekasih aktif curi tabung derma anak yatim ditangkap

Pasangan kekasih aktif curi tabung derma anak yatim ditangkap

Polis berkata pasangan berkenaan mencuri tabung derma madrasah dan rumah anak yatim yang diletakkan di kedai makan di sekitar Melaka dan Johor.

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit berkata pasangan itu dipercayai giat melakukan jenayah tersebut sejak dua tahun lalu. (Gambar Facebook)
MELAKA:
Kelicikan sepasang kekasih yang dipercayai aktif mencuri tabung derma diletakkan di kedai-kedai makan, akhirnya tumpas selepas ditahan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Klebang pada 4 Dis lalu.

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit berkata supek lelaki berusia 33 tahun dan wanita 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah malam oleh sepasukan anggota polis hasil risikan dan maklumat orang awam.

“Siasatan awal mendapati semua tabung derma dicuri mereka adalah milik madrasah dan rumah anak yatim yang diletakkan di kedai-kedai makan di sekitar Melaka dan Johor.

“Modus operandi mereka adalah dengan pergi ke warung dan kedai makan lalu berpura-pura sebagai wakil madrasah, pondok, atau rumah anak yatim untuk mengambil tabung derma,” katanya dalam satu kenyataan.

Christopher berkata pasangan itu dipercayai giat melakukan jenayah tersebut sejak dua tahun lalu dan mula aktif di Melaka sekitar dua bulan kebelakangan ini, dengan anggaran pendapatan sekitar RM250 sehari hasil daripada kegiatan tersebut

Dalam serbuan tersebut, polis menemukan sebanyak 54 tabung derma, sebuah kereta, dan pemotong besi.

“Turut ditemukan satu peket plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat dedaun hijau disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira 8g.

“Hasil tangkapan ini, sebanyak lapan kertas siasatan dibuka iaitu empat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, tiga di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta satu bagi Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Beliau berkata hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pasangan itu direman selama tujuh hari dan akan disambung reman esok untuk siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.