
Jabatan Penjara memaklumkan Murad (bukan nama sebenar) yang memiliki PhD dalam bidang pentadbiran perniagaan menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang.
“Murad prospek pertama Jabatan Penjara yang bergelar doktor falsafah dalam bidang pentadbiran perniagaan, setelah menyambung pelajaran ketika menjalani hukuman di penjara,” katanya menerusi perkongsian di Facebook jabatan itu.
Waran pembebasan dibacakan Pengarah Penjara Kajang, Preshahdin Monshee.
Semasa sesi pembebasan itu, Preshahdin turut menasihatkan Murad sentiasa mengamalkan disiplin serta menggunakan ilmu untuk memajukan diri dan Jabatan Penjara sedia membantu sekiranya Murad memerlukan bantuan.
Murad, pada sesi itu turut menzahirkan kesyukuran dan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor atas pengampunan baginda serta Jabatan Penjara kerana memberi peluang dan ruang kepadanya menyambung pengajian sehingga bergelar doktor falsafah.
Katanya, dia akan mengenang semua jasa baik Jabatan Penjara dan percaya peranan jabatan itu dalam memulihkan prospek sepertinya untuk dikembalikan dengan lebih sempurna.