
Menerusi perkongsian di Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima pegawai dan anggota berkenaan ialah Mohd Norzahirudin Jufri, Muhamad Hanif Abd Halim, Osmizan Osman, Mohd Shariffuddin Sulaiman, dan Wan Mohd Abbasi Wan Abdllah @ Wan Mamat.
Razarudin turut merakamkan ucapan tahniah kepada mereka kerana sentiasa berpegang teguh dengan prinsip integriti ketika menjalankan tugas menjaga sempadan negara.
“Apa yang dilakukan ini (menolak rasuah) seharusnya menjadi teladan buat rakan-rakan seperjuangan (warga pasukan) yang lain, agar tidak mudah terjerumus dengan perbuatan tidak bermaruah yang boleh merosakkan nama baik polis, seterusnya masa depan kita,” katanya semasa menyerahkan surat penghargaan itu di Bukit Aman.
Turut hadir Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dan Komander Briged Tenggara PGA Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.
Dalam operasi pada 9 Dis, seorang ejen sindiket penyeludupan migran cuba menyogok RM50,000 kepada anggota dan pegawai polis semasa menjalankan tugas Op Wawasan Taring Kelantan di Jalan Sri Cemerlang dan Jalan Besar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan dipercayai sebagai imbuhan kepada polis agar tidak membuat tangkapan terhadap kesemua suspek terlibat.
Dalam operasi yang dijalankan bersama Batalion 9 PGA itu, seramai 16 pendatang tanpa izin warga Myanmar serta tiga tekong berjaya ditahan.