
Bagaimanapun menteri besar Kedah itu masih berdepan satu lagi pertuduhan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang akan dibicarakan 24 hingga 28 Feb depan.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Masri Mohd Daud di hadapan Hakim Aslam Zainuddin, lapor Berita Harian
Sanusi, 50, didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, kira-kira jam 11 malam ,11 Julai 2023.
Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Sanusi, 50, mengemukakan representasi kedua selepas permohonan pertama ditolak oleh Jabatan Peguam Negara, pada Mei.
Pada 25 Sept lalu, Sanusi memohon ampun kali kedua kepada Sultan Sharafuddin susulan ucapannya dalam satu ceramah di Selangor, yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor.
Sanusi menyuarakan rasa kesal terhadap kenyataannya kerana memberi kesan negatif, serta sedar tindakannya menimbulkan rasa tidak selesa, mengguris hati dan perasaan Sultan Selangor.
Sehari selepas itu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Adun Jeneri itu.
Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda menerima permohonan itu atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.