
Memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan dalam perbicaraan kes beliau yang didakwa menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB, Najib tidak bersetuju dengan cadangan pendakwaan berhubung pemecatan KPMG kerana beliau memberikan arahan yang jelas kepada 1MDB dan KPMG untuk mengambil langkah perlu bagi memuktamadkan akaun sebelum 31 Dis 2013.
Najib berkata, pertemuan beliau dengan KPMG berlangsung pada 12 Dis 2013 di kediamannya di Langgak Duta dan KPMG diwakili oleh rakan kongsi pengurusannya iaitu Johan Idris dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB Lodin Wok Kamaruddin, Mohd Hazem Abd Rahman (bekas CEO 1MDB) dan Azmi Tahir (bekas ketua pegawai kewangan 1MDB).
“Kepada pengurusan 1MDB, saya mengarahkan mereka membantu dan berbincang dengan Bridge Global Partners bagi mendapatkan maklumat serta dokumen yang diperlukan untuk KPMG bagi membolehkan juruaudit firma itu menyelesaikan audit.
“Bagi KPMG, saya sendiri telah meminta KPMG untuk ke Hong Kong untuk mendapatkan keselesaan yang diperlukan bagi menyelesaikan audit,” katanya ketika membacakan jilid kedua pernyataan saksinya setebal 525 halaman.
“Saya masih ingat saya dengan jelas mengingatkan semua pihak 1MDB mahupun KPMG semasa pertemuan itu agar melaksanakan tadbir urus yang baik dalam perkara itu.”
Najib berkata, beliau tidak mempunyai sebarang rekod mengenai apa yang diperkatakan dalam pertemuan itu tetapi beliau percaya sepanjang perbicaraan tersebut, Johan yang juga saksi pendakwaan ke-14, merujuk kepada minit mesyuarat sama yang disediakannya.
Bekas perdana menteri itu turut menolak cadangan pendakwaan bahawa beliau menekan Lembaga Pengarah 1MDB untuk memecat KPMG sebagai juruaudit syarikat tersebut dan berkata beliau menerima surat yang menggariskan alasan bagi pemecatan firma berkenaan bersama-sama Notis Khas bawah Seksyen 153 dan Seksyen 172(4) Akta Syarikat 1965.
“Bagaimanapun, saya tidak akan menyediakan Notis Khas itu secara bersendirian kerana draf yang disediakan harus datang daripada 1MDB,” katanya.
“Dakwaan itu tidak masuk akal kerana terdapat surat daripada 1MDB menjelaskan justifikasi bagi pemecatan KPMG dan pelantikan Deloitte KassimChan bagi menggantikan firma itu sebagai juruaudit syarikat,” katanya.
Najib berkata, Lembaga Pengarah 1MDB meluluskan Resolusi Pekeliling Pengarah bagi pemecatan KPMG yang turut menyebut bahawa pelantikan Deloitte KassimChan telah disyorkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Audit & Risiko.
Hari ini ialah hari kelapan bekas Ahli Parlimen Pekan itu memberi keterangan membela diri atas empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Pada 30 Okt lepas, Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas kesemua 25 tuduhan setelah memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Perbicaraan bersambung pada Khamis.