
Ketua PKR Perlis Amin Ahmad berkata banyak kerja perlu dibuat sekiranya bekas ahli majlis tertinggi Umno itu mahu mencapai sasaran tersebut.
“Kita berharap mana-mana individu menyertai PKR dapat memberi nilai tambah kepada perjuangan dan usaha memperkuatkan parti.
“Bagi saya cita-cita Zahidi baik apabila dia masuk memperkuat parti, sama ada Berjaya atau tidak itu persoalan lain…banyak kerja keras perlu dibuatnya,” katanya kepada FMT.
Amin berkata demikian ketika diminta mengulas sasaran Zahidi yang mahu menubuhkan 400 ranting PKR di seluruh Perlis menjelang PRU16 di mana lebih 100 daripadanya di Padang Besar.
Ketika ni, PKR Padang Besar mempunyai 60 ranting.
Semalam, Zahidi yang juga bekas ketua Umno Padang Besar mengumumkan beliau kini ahli PKR setelah hampir dua tahun selepas menyatakan hasrat berbuat demikian.
Bekas Ahli Parlimen Padang Besar berkata beliau mendapat restu Presiden PKR Anwar Ibrahim dengan gerakan telah dimulakan untuk menubuhkan 400 ranting di seluruh negeri itu.
Zahidi pernah menjadi timbalan menteri komunikasi dan multimedia dari 2021 hingga 2022.
Sementara itu, Amin menafikan PKR negeri tidak menerima baik kehadiran Zahidi dan berkata sesiapa sahaja boleh menjadi ahli selagi mempercayai perjuangan reformasi dan mematuhi disiplin sebuah organisasi.
Ketika ditanya sama ada PKR negeri akan menawarkan sebarang jawatan kepada Zahidi, Amin berkata tiada keperluan berbuat demikian kerana pemilihan parti akan dibuat pada tahun depan.
“Pada saya tiada keperluan. Nak buat pelantikan baru tinggal 6 bulan lagi tempoh pemilihan.
“Tetapi sekiranya cabang Padang Besar nak libatkan beliau dalam struktur, itu terpulang, sebab bagi saya memang sepatutnya pemimpin kena ada base (tapak) dia,” katanya.
Amin juga berkata PKR negeri akan memberi kerjasama kepada Zahidi kerana kemasukan bekas timbalan menteri itu adalah untuk memperkuatkan parti.