
Ini kerana, katanya, ia bertentangan peraturan dan peruntukan undang-undang negara ini.
“Dalam perkahwinan itu, katakanlah mereka kahwin di Thailand, cukup syarat nikah dia, rukun dia, wali ada dan saksi pun ada, perkahwinan itu sah daripada sudut hukum.
“Tetapi ia bertentangan peraturan dan undang-undang negara kita. Sebab itu, kita nak lahirkan umat Islam yang bukan saja patuh kepada hukum, pada masa sama rakyat yang mematuhi peraturan dan undang-undang,” katanya selepas merasmikan majlis penyampaian Biasiswa Al-Falah Madani di bawah produk “myWaqafPTPTN” anjuran YWM bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji.
Beliau mengulas “Trip Nikah di Thailand” menawarkan khidmat nikah dulu, bayar kemudian yang tular di TikTok baru-baru ini.
Dalam hantaran video itu, pasangan dari Malaysia yang berminat mengambil pakej berkahwin di Thailand hanya perlu membayar caj serendah RM1,699 saja.
Na’im turut menggesa orang ramai tidak terpengaruh promosi atau pakej pernikahan yang disediakan agensi pelancongan didakwa berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat (SSM).
“Sebab peraturan sebenarnya untuk melindungi, membina hak semua pihak secara adil. Jadi, saya syorkan masyarakat hati-hati dengan media sosial promosi itu…bimbang lagi teruk kena scam.
“Disebabkan nak cepat nikah, tahu-tahu kena scam. Orang sekarang nak cepat buat duit, akhirnya nikah entah ke mana, duit pun hilang.”
Kos haji
Na’im memaklumkan kos haji akan diumumkan selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
“Bila kos haji itu saya umumkan, kita akan mula agihkan surat kepada mereka yang layak pergi haji, insya-Allah.”