SPRM masih siasat HRD Corp, kata Azam Baki

SPRM masih siasat HRD Corp, kata Azam Baki

KP SPRM berkata siasatan meliputi beberapa aspek termasuk perolehan dan pelaburan.

Azam Baki HARA
KP SPRM Azam Baki kata badan anti-rasuah itu membuka beberapa fail berkenaan HRD Corp.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan bahawa siasatan terhadap Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) masih berjalan.

Penjelasan oleh Ketua Pesuruhjaya Azam Baki itu menyusuli laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara kepada Dewan Rakyat hari ini, yang memetik penyiasat SPRM sebagai berkata tiada kesalahan di bawah Akta SPRM didapati.

“Saya tidak tahu pegawai ini merujuk kepada aspek apa dalam isu ini tetapi secara amnya kami membuka beberapa fail berkenaan HRD Corp.

“Semua siasatan masih diteruskan,” katanya kepada media selepas menutup majlis sambutan antirasuah antarabangsa 2024.

Azam menjelaskan siasatan meliputi beberapa aspek termasuk perolehan dan pelaburan.

Katanya lagi, semua fail siasatan masih bersama penyiasat, dan belum diputuskan oleh timbalan pendakwa raya.

Azam juga meminta pegawainya menjelaskan perkara ini kepada PAC.

SPRM pada Julai mengumumkan ia memulakan penyiasatan berhubung isu HRD Corp susulan beberapa teguran yang diketengahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2024, dengan fokus pada elemen jenayah yang tertakluk di bawah Akta SPRM.

Ia turut menjelaskan bahawa SPRM tidak akan menumpukan siasatan terhadap isu kelemahan pengurusan dan ketidakakuran peraturan, kerana perkara tersebut telah diperjelaskan dan diperkemaskan oleh pengurusan HRD Corp sewaktu mesyuarat penutup pengauditan (exit conference) dengan Jabatan Audit Negara.

HRD Corp berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia Steven Sim menegaskan ‘semua orang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, dan dalam kes ini, tiada kakitangan HRD Corp didakwa di mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.