Peniaga pukul bekas isteri sehingga koma dihukum penjara 10 tahun

Peniaga pukul bekas isteri sehingga koma dihukum penjara 10 tahun

Rosmaini Abg Raof didakwa memukul kepala, muka, tangan dan menghentakkan kaki ke belakang tangan Jahidah Nordin, yang ketika itu sedang mengandung 10 minggu.

mahkamah sesyen majistret johor bahru
Mahkamah jatuhkan hukuman penjara terhadap seorang peniaga kerana menyebabkan kecederaan parah kepada bekas isteri sehingga koma. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang peniaga kerana menyebabkan kecederaan parah kepada bekas isteri ketiganya sehingga koma pada Jun 2021.

Hakim Fatimah Zahari menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosmaini Abg Raof, 41, selepas mahkamah berpuas hati dengan pendakwaan kerana berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini didakwa memukul kepala, muka, tangan dan menghentakkan kaki ke belakang tangan Jahidah Nordin@Sylvester, 46, yang ketika itu sedang mengandung 10 minggu, dan kini terlantar koma.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin pada 6 pagi, 4 Mei 2021.

Atas kesalahan terbabit, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda serta boleh dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.

Jahidah yang merupakan seorang penjawat awam selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan pada 30 Nov 2021.

Pada 15 Mac tahun lepas, Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Feb 2023.

Pada 3 Nov lepas, keputusan akhir kes pembelaan itu terpaksa ditangguhkan selepas Rosmaini gagal hadir ke mahkamah atas alasan dimasukkan ke wad hospital kerana tidak sihat.

Mahkamah turut menolak permohonan barisan peguam tertuduh diketuai Kamal Hisham Ja’afar untuk menangguhkan hukuman sehingga rayuan dibuat ke Mahkamah Tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu manakala tertuduh diwakili Kamal, Mohd Salleh Togimin, dan Aina Kamilah Zalizan.

Peguam pemerhati yang mewakili keluarga Jahidah, Muhammad Hazeem Mohd Norizan dan Syufri A Samad, mengikuti prosiding berkenaan.

Sementara itu, adik Jahidah, Fauziah, 43, yang ditemui media selepas prosiding mahkamah berkata dia bersyukur penantian lebih tiga tahun untuk mendapatkan keadilan buat kakaknya telah berakhir.

“Syukur alhamdulillah, kes sudah selesai hari ini… selepas ini kami akan teruskan kehidupan macam biasa, jaga Kak Jahidah, semoga dia cepat sembuh dan anak Kak Jahidah membesar dengan baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.