
Tarikh perbicaraan ditetapkan pada pengurusan kes di hadapan pendaftar Mahkamah Rayuan Jumirah Marjuki hari ini.
Peguam utama Hisyam Teh Poh Teik berkata Jumirah juga mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan hujahan bertulis mereka selewat-lewatnya pada 4 Mac.
Hisyam berkata rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 15 Jan bagi membolehkan pihak-pihak mengemaskini status rekod rayuan kepada mahkamah.
Peguam Low Wei Loke dan Beston Tan turut mewakili Syed Saddiq, manakala Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin dan Afif Ali hadir mewakili pendakwaan.
Pada 9 Nov tahun lepas, Syed Saddiq yang juga bekas ketua Pemuda Bersatu, didapati bersalah atas satu tuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1 juta milik sayap itu, serta satu lagi tuduhan menyalahgunakan harta berjumlah lebih RM120,000, juga milik Pemuda Bersatu.
Dia juga disabitkan bersalah atas dua tuduhan pengubahan wang haram kerana memindahkan sejumlah RM100,000 ke akaun peribadinya daripada sebuah syarikat, Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE), yang dikaitkan dengan Pemuda Bersatu.
Bagi tuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan harta, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing tiga dan dua tahun.
Syed Saddiq dijatuhi hukuman dua tahun bagi setiap tuduhan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, dia hanya perlu dipenjarakan lima tahun kerana kesemua hukuman berjalan serentak.
Dalam alasan penghakiman setebal 22 muka surat yang dikeluarkan pada 28 Nov, Hakim Azhar Abdul Hamid berkata hukuman Syed Saddiq tidak keterlaluan kerana mahkamah mengambil kira statusnya sebagai tokoh masyarakat dan suri teladan bagi golongan muda.