
Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata menerusi taklimat secara tertutup itu, bank pusat terbabit akan menjelaskan proses permohonan untuk mengkaji semula bayaran terbabit.
“Kita nak memahami kriteria kelulusan diberikan dalam taklimat esok.
“Kita akan dapat maklumat yang lebih lanjut daripada mereka di Parlimen secara tertutup esok,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan BNM menyiasat isu kenaikan kadar premium insurans perubatan dan caj hospital swasta dengan menubuhkan pasukan petugas selain Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjalankan prosiding dan pendengaran awam.
“Kami bukan mencari kesalahan mana-mana pihak atau mengongkong keuntungan sektor kesihatan swasta.
“Tujuan kami untuk menyeru kerajaan mencari penyelesaian kepada ekosistem kesihatan swasta dan pembiayaan kesihatan swasta yang mampan. Ia supaya sektor ini berkembang dengan sihat dan mampan,” katanya.
Sebelum ini Kementerian Kewangan memaklumkan pihaknya dalam proses rundingan dengan pihak berkaitan berhubung kenaikan premium insurans perubatan antara 40% dan 70%.
Pada 28 Nov lalu, BNM mengarahkan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) untuk memastikan ia lebih wajar.
Ia termasuk menguruskan kenaikan premium atau sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi takaful.