14 Jan keputusan permohonan Tommy Thomas untuk hakim tarik diri

14 Jan keputusan permohonan Tommy Thomas untuk hakim tarik diri

Bekas peguam negara itu mendakwa Hakim Roz Mawar Rozain membuat banyak dapatan tidak berasas serta bercanggah dengan tuntutan saman dan keterangan dikemukakan di mahkamah.

tommy
Bekas peguam negara Tommy Thomas memohon agar Hakim Roz Mawar Rozain menarik diri daripada mendengar kes saman difailkan Shahrir Samad terhadap beliau berhubung pendakwaan berniat jahat.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 14 Jan tahun depan untuk keputusan permohonan bekas peguam negara Tommy Thomas agar Hakim Roz Mawar Rozain menarik diri daripada mendengar kes saman difailkan Shahrir Samad terhadap beliau dan tiga lagi berhubung pendakwaan berniat jahat.

Hakim Roz Mawar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Alan Adrian Gomez mewakili Thomas serta peguam Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah dan Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir.

“Mahkamah menetapkan keputusan pada 14 Jan 2025 jam 9 pagi,” kata hakim itu.

Thomas yang memfailkan permohonan itu pada 26 Ogos lepas, mendakwa Roz Mawar membuat banyak dapatan tidak berasas serta bercanggah dengan tuntutan saman itu dan keterangan yang dikemukakan di hadapan mahkamah.

Bagaimanapun, Shahrir membantah permohonan tersebut atas alasan Roz Mawar tidak wajar menarik diri hanya sebab Thomas tidak berpuas hati dengan alasan penghakimannya.

Pada 3 Julai lepas, Roz Mawar menolak permohonan Thomas untuk membatalkan saman itu dan kes ditetapkan bagi pendengaran penuh selama tujuh hari iaitu dari 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.

Shahrir memfailkan saman tersebut pada Disember tahun lepas dengan menamakan Thomas, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan sebagai defendan.

Saman Shahrir adalah berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima beliau daripada bekas perdana menteri Najib Tun Razak bagi tujuan kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Thomas, yang menjadi peguam negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020, dalam afidavitnya menafikan dakwaan Shahrir terhadap beliau termasuk salah guna kuasa dan menyifatkan ia sebagai ‘tidak boleh dipertahankan’.

Beliau berkata budi bicara sama ada untuk mendakwa hanya boleh dilaksanakan selepas pendakwa raya menerima kertas siasatan daripada agensi penyiasatan seperti SPRM.

Thomas berkata beliau meletak jawatan pada 28 Feb 2020 dan pada 26 Julai 2022, perbicaraan kes jenayah Shahrir bagi pertuduhan itu bermula.

Pada 5 Jan 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytihar pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.