Wajibkan penjawat awam isytihar aset, saran Ahli Parlimen

Wajibkan penjawat awam isytihar aset, saran Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Subang Wong Chen kata ia akan tingkatkan ketelusan dan pupuk keyakinan.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen kata pengisytiharan aset mandatori bagi wakil rakyat adalah suatu pembaharuan yang mudah dan boleh segera diperkenalkan.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen PKR menggesa Putrajaya mewajibkan pengisytiharan aset bagi wakil rakyat, meskipun mengesyaki parti komponen lain dalam kerajaan mungkin tiada kemahuan untuk berbuat demikian.

“Bolehkah ia dilakukan,” soal Ahli Parlimen Subang Wong Chen, yang berpandangan ia penambahbaikan mudah yang boleh diperkenalkan dengan segera.

“Jika kita tidak dapat melakukannya kerana sekutu-sekutu kita tidak berminat dengan isu sebegini, sekurang-kurangnya kita laksanakan ke atas penjawat awam.”

Wong menyarankan hakim dan anggota perkhidmatan awam, termasuk para ketua setiausaha kementerian dan timbalan masing-masing, dikehendaki mengisytiharkan harta bagi meningkatkan ketelusan dan memupuk keyakinan.

“Mudah-mudahan apabila ahli politik kita sudah bersedia, mungkin mereka boleh melakukannya. Calon-calon PKR terkenal dengan pengisytiharan harta menjelang pilihan raya, namun kita tidak mahu memaksa DAP dan Umno.

“Namun saya fikir sekurang-kurangnya kita mesti laksanakan ia di peringkat perkhidmatan awam. Langkah ini akan jadi suatu penambahbaikan yang besar,” katanya.

Wong mengulas penarafan rendah prestasi kerajaan berhubung reformasi sepanjang dua tahun pentadbiran semasa, oleh badan pemantau pilihan raya, Bersih.

Bersih memberikan gred ‘D’ selepas menilai kemajuan 37 bidang yang merangkumi reformasi pilihan raya, institusi, dan kebebasan awam.

Pengerusi Faisal Abdul Aziz menyatakan bahawa kerajaan mencapai kemajuan terhad dalam pembaharuan yang dijanjikan, mengatakan terdapat jurang antara retorik dan tindakan.

Kerajaan sebelum ini ada menyatakan hasrat untuk memperkenalkan pengisytiharan aset bagi Ahli Parlimen dan pegawai pentadbiran.

Ketika ini penjawat awam dikehendaki mengisytiharkan harta kepada ketua jabatan mereka.

Pada Mac, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, berkata format pengisytiharan telah dimuktamadkan dan sedia untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan. Bagaimanapun sejak itu, tiada perkembangan terkini mengenainya.

Pemilihan PKR

Ditanya mengenai pemilihan parti tahun depan, Wong membayangkan beliau mungkin bertanding jawatan ketua bahagian PKR.

Beliau berkata pemimpin bahagian biasanya mempunyai hak bersuara dalam pelantikan ahli majlis kerajaan tempatan.

“Kami menerima banyak aduan mengenai prestasi ahli majlis. Jadi, ini mungkin masa yang sesuai untuk cuba memenangi jawatan dan lantik ahli majlis yang berkebolehan.”

Wong juga mungkin akan mempertahankan kerusinya dalam majlis pimpinan pusat PKR, walaupun, atas sebab peribadi, terdapat ‘kemungkinan sangat tinggi’ bahawa ia akan menjadi penggal terakhirnya.

“Bagaimanapun, jika kerajaan dapat mengusahakan reformasi yang boleh ditunaikan dalam tempoh tiga tahun akan datang, dan saya rasa masih banyak lagi yang perlu dilakukan, saya akan terus berkhidmat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.