
Bekas presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan Zainul Rijal Abu Bakar mendakwa, Bahagian III memperihalkan berkaitan pelantikan mufti, timbalannya, Jawatankuasa Perundingan Syarak Fatwa dan lain-lain, namun dipotong dalam pindaan terbaru.

“Jika ia dipotong maka tiada punca kuasa lagi tentang pelantikan atau kuasa mufti kerana RUU Mufti Wilayah Persekutuan tidak dibentangkan sekali walaupun sebelum ini dikatakan bakal dibentang bersekali.
“Jika RUU Mufti dibentang sekali Fasal 10 tidak menjadi masalah,” katanya kepada FMT mengulas pindaan Akta 505 yang diluluskan Dewan Rakyat, kelmarin.
Pindaan itu berkait penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam, penubuhan serta organisasi Mahkamah Syariah dan perkara berkaitan dengannya.
Akta terbabit turut memperuntuk peranan dan tanggungjawab pelbagai agensi agama di Wilayah Persekutuan iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, ketika membentangkan RUU itu berkata walaupun Akta 505 sudah dipinda beberapa kali, ada peruntukan lain memerlukan pindaan selaras perkembangan semasa bagi memperkemas tadbir urus hal ehwal agama Islam di Wilayah Persekutuan.
Sebelum diluluskan, berlaku perbahasan hangat membabitkan beberapa Ahli Parlimen susulan sebelum ini takrif hukum syarak dalam akta terbabit menyebut ‘ia mengikut mana-mana mazhab diiktiraf’ berbanding cadangan pindaan kepada ‘mengikut mazhab Syafie atau mengikut mana-mana satu mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali’.
Antaranya, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim daripada Perikatan Nasional (PN) yang mempersoalkan pindaan itu yang menurutnya tindakan terbabit hanya menjumudkan hukum syarak.
“Dalam Islam, ada banyak lagi mazhab lain termasuk mazhab Imam al-Bukhari. Kalau kita jumudkan perkara ini, ia akan menyebabkan lebih banyak perbezaan pendapat dalam kalangan rakyat Malaysia, saya tak setuju,” katanya.
September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata kerajaan bercadang meneruskan pembentangan RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sesi Parlimen ini bersekali dengan dua lagi RUU berkaitan hal ehwal Islam bagi tujuan pindaan.
Namun, hanya Akta 505 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Akta 585) saja dibentangkan dan diluluskan.
Justeru, Zainul Rijal berkata dikhuatiri mufti Wilayah Persekutuan tidak mempunyai punca kuasa perundangan jika pindaan Fasal 10 diwartakan dan dilaksanakan,
“Fasal 10 itu hanya boleh diwarta dan dilaksana selepas RUU Mufti diluluskan diwarta dan dilaksana. Pihak kerajaan perlu berhati-hati dalam mewarta atau melaksanakannya,” katanya.