Pelakon Johan Abdullah meninggal dunia

Pelakon Johan Abdullah meninggal dunia

Allahyarham sering membawa watak lelaki berbangsa Inggeris dalam drama dan filem tempatan.

Johan Abdullah
Johan Abdullah, 76, meninggal dunia sekitar 7.30 malam tadi. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Pelakon kerap memegang watak lelaki berbangsa Inggeris, Johan Abdullah, 76, meninggal dunia hari ini.

Pemergian Allahyarham sekitar 7.20 malam.

Isteri, Sarepah Meriam Aboo, 51, berkata suami meninggal dunia ketika dirawat di zon merah Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), Negeri Sembilan.

Katanya, Johan dibawa ke hospital itu dari rumah mereka di Taman Mantau Indah, Seremban, selepas mengadu sukar bernafas sejak petang.

“Daripada 3 petang, nafasnya terasa pendek dan tersekat-sekat, kemudian jiran membantu dengan menelefon ambulan untuk bawa suami ke hospital.

“Sebelum itu, keadaan dia ‘okay’ sahaja, boleh duduk dan minum walaupun badan terketar-ketar. Sebelum ini iaitu pada bulan Julai lalu, arwah ada mendapat rawatan dan dimasukkan ke HTJS selama 12 hari akibat keradangan usus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sarepah berkata, pengurusan jenazah akan dilakukan esok pagi di Surau Al-Amin, Taman Mantau Indah dan dijangka selesai kira-kira 9.30 pagi.

Jenazah akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.