Pusat jagaan tarik balik laporan berkait pelajar didakwa dikasari guru

Pusat jagaan tarik balik laporan berkait pelajar didakwa dikasari guru

Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan kebaikan secara menyeluruh untuk semua pihak, kata pengasas TBQ Amal.

IPD Johor Bahru Selatan
TBQ Amal tarik balik laporan polis berkait pelajar didakwa dikasari guru susulan dua pertemuan. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Pusat Jagaan Tenang Bersama Qadar (TBQ Amal) menarik balik laporan polis berkaitan isu pelajar di bawah jagaannya yang didakwa dikasari guru di sebuah sekolah di daerah ini.

Pengasas TBQ Amal, Herman Sudil, berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan kebaikan secara menyeluruh untuk semua pihak hasil daripada pertemuan yang dilakukan.

Beliau berkata pertemuan pertama berlangsung di sebuah balai polis semalam bersama guru besar serta guru terlibat dan disusuli hari ini melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, IPD Johor Bahru Selatan serta pihak sekolah.

“TBQ Amal juga memohon maaf atas salah faham. Terima kasih kepada semua pihak atas sokongan keprihatinan dalam memastikan kebajikan anak-anak terus terjaga,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, semalam dilapor berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes seorang murid berusia 10 tahun yang didakwa dikasari guru sekolahnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di Facebook dakwaan seorang murid ditampar, ditumbuk, direntap rambut dan diseret hingga ke pejabat sekolah oleh guru sekolah.

Pemilik akaun laman sosial terbabit mempersoalkan perbuatan itu kerana kanak-kanak berkenaan tidak mempunyai ibu bapa dan tinggal di rumah kebajikan masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.