
Kementerian Pengangkutan berharap penetapan harga maksimum RM499 itu dapat mengurangkan beban kewangan pengguna yang ingin pulang ke kampung.
Harga itu bagaimanapun tidak termasuk cukai dan fi, menurut kenyataan.
“Kerajaan akan membayar perbezaan harga antara harga asal tiket penerbangan dan harga maksimum tersebut,” katanya.
Penetapan harga tambang tetap akan dilaksanakan bermula jam 12:01 tengah malam, 6 Dis 2024, bagi tarikh-tarikh berikut:
- Krismas 2024: 21, 22, 23 dan 24 Dis 2024
- Tahun Baru Cina 2025: 25, 26, 27 dan 28 Jan 2025
- Aidilfitri 2025: 27, 28, 29 dan 30 Mac 2025
- Kaamatan 2025: 26, 27, 28 dan 29 Mei 2025
- Gawai 2025: 28, 29, 30 dan 31 Mei 2025
- Krismas 2025: 21, 22, 23 dan 24 Dis 2025
Tiket boleh dibeli melalui laman sesawang syarikat penerbangan, dan tertakluk pada terma dan syarat berikut:
- Perubahan tarikh atau pertukaran penerbangan tidak dibenarkan dan hanya sah untuk tarikh/ penerbangan yang ditunjukkan pada tiket.
- Tiada pertukaran nama dibenarkan dan tiket penerbangan yang telah dibeli tidak boleh dikembalikan.
“Dalam hubungan ini, mungkin terdapat beberapa variasi kepada terma dan syarat yang ditambah baik dan ditawarkan oleh sesetengah syarikat penerbangan.
“Bagaimanapun, pengguna akan tetap dilindungi mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia,” katanya.
Tahun lalu, kerajaan memberikan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sehala bagi kelas ekonomi yang melebihi RM599 dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tiga hari sebelum sambutan Krismas.