
Menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata, jumlah itu dikenal pasti kementeriannya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang menjalankan kajian mengikut lembangan sungai utama sebagai pendekatan bukan struktur bagi menyediakan perancangan dan penyelesaian banjir secara menyeluruh.
“Maknanya, kalau nak belanjakan keseluruhan, satu tahun tidak ada bajet untuk semua kementerian (untuk) selesaikan masalah ini.
“…tetapi, realitinya kemampuan kerajaan terhad, sebab itu kita laksana projek mengikut keutamaan negeri dan kawasan berdasarkan kajian terbabit,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan V Ganabatirau (PH-Klang) berhubung tahap kepuasan kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur tebatan banjir dan pelaburan berkaitan dengannya serta langkah sedang diambil untuk meningkatkan tahap persediaan dan kecekapan tindak balas negara dalam menghadapi banjir.
Berikutan itu, Fadillah berkata, kementeriannya berpuas hati dengan projek yang dilaksanakan, contohnya projek terowong SMART di Kuala Lumpur yang siap sejak 2007 dengan perbelanjaan RM1.97 bilion.
Menurutny, sepanjang 17 tahun beroperasi, terowong itu diaktifkan lebih 600 kali untuk melencongkan banjir dan mengurangkan risiko banjir di pusat bandar.
Malah, katanya berdasarkan kajian JPS pada 2012, jumlah kerugian berjaya diselamatkan hasil pengaktifan lencongan itu bernilai lebih RM4.3 bilion.
Fadillah berkata, JPS turut mengemas kini dan mengenal pasti 4,619 lokasi hotspot banjir di seluruh negara dan tindakan awal diambil untuk melaksanakan kerja mitigasi, seperti penyelenggaraan sistem perparitan, pembaikan dan “retrofitting”.
“JPS juga memastikan sistem amaran awal melibatkan 534 siren amaran banjir di sungai utama berfungsi dengan baik.”
Sebagai persediaan tindak balas banjir pula, beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah diminta melaksanakan koordinasi persediaan awal melalui mesyuarat, mengadakan simulasi dan latih amal bersepadu, persediaan pusat pemindahan sementara (PPS) serta Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam.
“Bagi penyelarasan pascabanjir, ia meliputi bantuan awal pembersihan dan bantuan pascabencana kepada mangsa.
“Ia termasuk bantuan kewangan dan pembaikan segera kerosakan infrastruktur, dengan meningkatkan kerjasama antara Jawatankuasa Pengurusan Bencana setiap negeri dan daerah bersama pertubuhan bukan kerajaan dan sukarelawan berkaitan penyelarasan bantuan.”