
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menerangkan dunia dilanda gangguan ke atas bekalan barangan berasaskan minyak dan gas yang menyokong pelbagai sektor serta keperluan harian merangkumi pembungkusan makanan, barangan pengguna, sektor kesihatan serta logistik.
“Apabila bekalan global terganggu, pengeluaran akan menjadi terhad dan kos akan meningkat. Kesan ini dijangka dirasai secara berperingkat dalam tempoh akan datang,” katanya pada taklimat krisis bekalan global, lapor Bernama.
Fadillah berkata gelombang kedua dijangka berkembang secara berperingkat, dan kerajaan komited memastikan kesannya ke atas rakyat dikawal dan diminimumkan.
Beliau mengumumkan tiga strategi utama kerajaan dalam berdepan gelombang kedua ini, merangkumi langkah menjamin bekalan keperluan asas rakyat, memanjangkan tempoh bekalan melalui pengurusan dan pengagihan sumber secara berhemat, serta mengekang kenaikan harga melalui pemantauan rapi dan tindakan tegas.
Fadillah berkata kerajaan bertindak lebih awal dan akan terus memperkukuh usaha bagi memastikan rakyat dilindungi.
“Strategi ini dilaksanakan bagi memastikan rakyat terus dilindungi sementara negara menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan global,” katanya.
Di samping itu, Fadillah menyeru semua pihak menyokong usaha kerajaan dengan menggunakan sumber secara berhemat, mengelakkan pembaziran dan mengutamakan keperluan.