
Suspek berusia 59 tahun itu dipercayai rakan kepada tiga penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian di Beverly Hill, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Azmi Abdul Rahim, berkata bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota JSJ D9 (Siasatan Khas) menyerbu sebuah bilik di bangunan berkenaan, pada 2.30 pagi.
“Ketika serbuan dilakukan, suspek melepaskan tembakan menyebabkan pasukan serbuan bertindak melepaskan tembakan balas bagi melindungi keselamatan serta nyawa anggota polis.
“Suspek kemudiannya disahkan mati di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor Berita Harian.
Azmi berkata suspek yang berasal dari Sarawak, dipercayai rakan kepada tiga penjenayah yang ditembak mati semalam kerana terbabit dalam beberapa kes jenayah termasuk kes bunuh di Sarawak.
“Dengan tumpasnya keempat-empat suspek ini, kita berjaya menumpaskan semua penjenayah yang dikehendaki ini.
“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Semalam, tiga penjenayah ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di lokasi persembunyian mereka di Beverly Hill.
Dalam kejadian 9.13 malam itu, ketiga-tiga penjenayah berasal dari Sarawak berusia lingkungan 40 hingga 50-an mati di lokasi kejadian.