Masalah kesihatan mental kanak-kanak, belia meningkat 2 kali ganda

Masalah kesihatan mental kanak-kanak, belia meningkat 2 kali ganda

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata ia meningkat daripada 7.9% pada 2019 kepada 16.5% pada tahun lepas.

Lukanisman Awang Sauni
Lukanisman Awang Sauni berkata Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan turut mendapati peningkatan prevalen tingkah laku bunuh diri dalam tempoh 10 tahun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Masalah kesihatan mental melibatkan kumpulan umur kanak-kanak, remaja serta belia menunjukkan peningkatan dua kali ganda, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata berdasarkan Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), ia meningkat daripada 7.9% iaitu 424,000 orang pada 2019 kepada 16.5% (922,318 orang) pada tahun lepas.

“Ini bermaksud peningkatan sebanyak dua kali ganda berdasarkan maklumat kita perolehi daripada NHMS,” katanya dalam pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta menteri kesihatan menyatakan secara terperinci berkenaan statistik isu kesihatan mental melibatkan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu, Lukanisman berkata dapatan NHMS juga turut menunjukkan peningkatan prevalen tingkah laku bunuh diri dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, idea bunuh diri dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan daripada 7.9% pada 2012 kepada 13.1% pada 2022.

“Bagi pelan bunuh diri, ia meningkat daripada 6.4% pada 2012 kepada 10.0% pada 2022.

“Peningkatan cubaan bunuh diri juga turut direkodkan daripada 6.8% pada 2012 kepada 9.5% pada 2022,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementeriannya telah mengambil insiatif mewujudkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan dan membangunkan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut menyediakan perkhidmatan talian bantuan krisis kesihatan mental iaitu Talian HEAL 15555 (Help with Empathy and Love).

“KKM juga menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang boleh diakses di 1,088 Klinik Kesihatan, 68 hospital, dan 37 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) dan penempatan 200 Pegawai Psikologi (Kaunseling) Contract For Service(CFS) di daerah dan Klinik Kesihatan.

“Kita juga berusaha meningkatkan bilangan pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja kepada 30 orang menjelang tahun 2027. Sehingga kini, terdapat 18 pakar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.