Kekangan infrastruktur halang wawasan hab kos rendah AirAsia, kata pakar

Kekangan infrastruktur halang wawasan hab kos rendah AirAsia, kata pakar

Sistem pengangkutan awam Kuala Lumpur dan ekosistem ketibaan penumpang KLIA yang tidak efisien dilihat sebagai penghalang.

pelancong KLIA
Pakar berpendapat membaiki pengangkutan awam dan menjadikan sistem ketibaan di KLIA lebih efisien penting untuk merealisasikan wawasan Tony Fernandes menjadikan Kuala Lumpur hab penerbangan AirAsia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelbagai kekangan infrastruktur perlu dibaiki untuk membolehkan AirAsia merealisasikan harapannya menjadikan Kuala Lumpur hab penerbangan kos rendah, menurut seorang usahawan dalam sektor itu.

M Mugunthan, pengasas syarikat rintisan latihan juruterbang, NextGenPilot, berkata sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur yang tidak sekata merupakan salah satu masalah infrastruktur utama.

“Perkhidmatan e-panggilan yang tidak efisien, sistem bas kurang baik prestasinya, dan rangkaian kereta api tanpa kesinambungan menyukarkan untuk menguruskan aliran lalu lintas yang semakin meningkat dan memastikan sambungan lancar untuk penumpang,” katanya kepada FMT.

Mugunthan berkata, sistem ketibaan di KLIA juga tidak efisien dan kerap mengecewakan pengembara seterusnya menyebabkan mereka tawar hati untuk kembali lagi.

“Ini menyukarkan usaha untuk meletakkan lapangan terbang antarabangsa itu sebagai hab pengangkutan bertaraf tinggi, sekalipun untuk syarikat penerbangan tambang rendah,” katanya kepada FMT.

Katanya, lapangan terbang di Malaysia kini kekurangan ruang dan infrastruktur untuk menjaminnya sebagai bertaraf dunia.

“Bagi melengkapi ekosistem ini, penyelesaian lebih komprehensif diperlukan,” katanya.

Bagaimanapun, kejayaan pelaksanaan KLIA Aeropolis mampu memainkan peranan penting untuk menjadikan Kuala Lumpur hab penerbangan kos rendah untuk AirAsia.

Katanya, pembangunan bandar lapangan terbang oleh Malaysia Airports Holdings Bhd akan menyediakan infrastruktur dan ekosistem yang perlu untuk menyokong perkembangan KLIA sebagai hab serantau.

“Kejayaan pelaksanaan projek mega ini akan memberi kesan langsung terhadap cita-cita (pengasas AirAsia) Tony Fernandes,” katanya.

Bulan lalu, Fernandes berkata AirAsia berharap menjadikan Bangkok dan Kuala Lumpur hab penerbangan tambang rendah yang menghubungkan dunia, seperti Dubai.

Menurut perancangannya, pelanggan akan melalui lapangan terbang di Bangkok dan Kuala Lumpur dalam perjalanan ke pelbagai destinasi lain di mana AirAsia dan AirAsia X berkhidmat, lapor Bloomberg.

Perunding pengangkutan, Wan Agyl Wan Hassan, berkata kekangan utama dihadapi AirAsia adalah dari segi persaingan memandangkan penerbangan tambang rendah VietJet dan Lion Air turut beroperasi di Asia Tenggara.

Katanya, peluasan dalam skala besar seperti itu adalah mencabar memandangkan syarikat penerbangan berkenaan masih dalam proses pemulihan selepas pandemik Covid-19.

Wan Agyl juga berkata, model ‘hub-and-spoke’ melibatkan lebih daripada satu negara akan memerlukan AirAsia mendapat sokongan kuat kerajaan dan pengawal selia terlibat bagi memastikan sambungan lancar.

“Memeterai perjanjian dan dasar sewajarnya, seperti perjanjian langit terbuka juga kritikal untuk memastikan wawasan ini dapat dicapai,” katanya.

Dasar langit terbuka merujuk kepada perjanjian antarabangsa antara negara yang membenarkan syarikat penerbangan beroperasi secara bebas antara negara terlibat, tanpa had terhadap laluan penerbangan, kapasiti atau harga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.