Jumlah mangsa banjir 7 negeri catat penurunan

Jumlah mangsa banjir 7 negeri catat penurunan

Kelantan yang paling terjejas sebelum ini mencatatkan penurunan ketara dengan 43,745 mangsa ditempatkan di 96 pusat pemindahan sementara.

banjir kelantan
Situasi banjir di tujuh negeri semakin baik dengan penurunan jumlah mangsa, termasuk di Kelantan yang terjejas teruk. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri menunjukkan penurunan setakat pagi tadi dengan 66,003 orang daripada 20,168 keluarga masih ditempatkan di 227 pusat pemindahan sementara (PPS).

Berdasarkan portal InfoBencana JKM, Kelantan yang paling terjejas sebelum ini mencatatkan penurunan ketara dengan 43,745 mangsa ditempatkan di 96 PPS.

Jumlah yang berkurangan itu susulan keadaan cuaca yang dilaporkan semakin baik di negeri itu sejak kelmarin, lapor Berita Harian.

Menurut Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat ini hanya enam daerah masih dilanda banjir manakala situasi di empat daerah lagi pulih dan PPS ditutup sejak kelmarin.

Daerah yang masih dilanda banjir membabitkan Pasir Mas, dengan 22,441, Tumpat (20,556), Kota Bharu (403), Bachok (243), Tanah Merah (55) dan Pasir Puteh (47).

Manakala di Terengganu pula 14,525 mangsa daripada 3,735 keluarga masih ditempatkan di 63 PPS di tujuh daerah.

Di Kedah, sebanyak 32 PPS dibuka di empat daerah, menempatkan 6,165 mangsa daripada 1,968 keluarga manakala Johor 20 PPS dibuka di dua daerah menempatkan 1,068 mangsa daripada 305 keluarga.

Satu daerah di Melaka masih terjejas dengan dua PPS dibuka untuk 172 mangsa daripada 44 keluarga.

Di Perak pula, 383 mangsa daripada 127 keluarga masih berlindung di 10 PPS di lima daerah.

Di Pahang pula empat PPS masih dibuka di dua daerah menempatkan 53 mangsa daripada 11 keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.