Hukuman sebat pesalah khalwat di khalayak ditangguh, kata exco Terengganu

Hukuman sebat pesalah khalwat di khalayak ditangguh, kata exco Terengganu

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata permohonan semakan difailkan kepada mahkamah semalam.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Muhammad Khalil Abdul Hadi menjangkakan hukuman enam sebatan itu akan dilaksanakan dalam bulan ini juga. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelaksanaan hukuman sebat seorang pesalah khalwat di sebuah masjid Jumaat ini ditangguhkan sementara menunggu perintah Mahkamah Rayuan Syariah.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata permohonan semakan difailkan kepada mahkamah semalam.

“Permohonan semakan perkara biasa dalam sistem kehakiman dan boleh dilakukan mana-mana pihak bagi melihat setiap hukuman berjalan lebih teratur dan tersusun.

“Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pihak Mahkamah Syariah,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau menjangkakan hukuman itu akan dilaksanakan dalam bulan ini juga.

“Hukuman dikenakan serta lokasi pelaksanaan hukuman itu tidak berubah, cuma menunggu tarikh baharu dan saya percaya ianya dalam masa terdekat, tidak mengambil masa yang lama,” katanya sambil menambah hukuman itu bertujuan memberi pengajaran kepada pesalah dan individu lain.

Pada 20 Nov lalu Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama di Terengganu dihukum enam sebatan di khalayak ramai atas kesalahan khalwat berulang, yang juga kesalahan ketiganya.

Media melaporkan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail memerintahkan hukuman sebatan dijalankan selepas solat Jumaat 6 Dis ini di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, sebaik tempoh rayuan tamat.

Affendi turut menjadi pesalah khalwat pertama dikenakan empat sebatan secara tertutup di penjara dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Feb lalu.

Dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah atas tuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 11 Julai 2023.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan sebatan hingga enam kali, denda hingga RM5,000 atau tiga tahun penjara berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.