
Masidi memaklumkan beliau tanpa dipanggil oleh SPRM memberikan keterangan di ibu pejabat badan antirasuah itu di Kota Kinabalu, Sabah pada 8 malam tadi.
“Seperti yang saya telah maklumkan sebelum ini, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak-pihak yang berwajib untuk menyiasat isu ini,” menurut kenyataan.
“Kunjungan saya ke pejabat SPRM malam ini adalah untuk membantu siasatan dan tanda sokongan saya kepada usaha SPRM membanteras rasuah di negeri ini.”
Terdahulu, beliau menafikan dakwaan seorang individu, yang dikatakan ‘pemberi maklumat’, bahawa beliau menerima sejumlah wang untuk menyokong permohonan mendapatkan lesen penerokaan mineral, lapor Malaysiakini.
Individu itu, yang juga seorang ahli perniagaan, hari ini mengeluarkan rakaman perbualan dengan beberapa Adun.
“Saya tidak ingat perbualan itu. Apa yang saya ingat ialah dia menawarkan untuk menderma kepada parti, dan saya menjawab tidak ada keperluan untuk dia berbuat demikian,” katanya.