Sistem 2 parti tak sejajar Perlembagaan, kata pakar undang-undang

Sistem 2 parti tak sejajar Perlembagaan, kata pakar undang-undang

Shad Saleem Faruqi berkata difahami motif Dr Mahathir Mohamad mahu kerajaan stabil adalah murni namun cadangan dikemuka bertentangan undang-undang.

Shad Saleem Faruqi, Bastian Pius Vendargon and Philip Koh mahathir
Pakar Perlembagaan (dari kiri) Shad Saleem Faruqi, Bastian Pius Vendargon, dan Philip Koh menolak seruan Dr Mahathir Mohamad (kanan) berhubung cadangan sistem dua parti.
PETALING JAYA:
Pakar perundangan menolak seruan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad supaya digubal undang-undang bagi mewujudkan sistem politik dua parti sebagai tidak menurut Perlembagaan.

Profesor undang-undang Perlembagaan, Shad Saleem Faruqi dan peguam Perlembagaan, Bastian Pius Vendargon, memberi peringatan ia boleh melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bercakap dan berpersatuan.

Shad Saleem, berkata cadangan undang-undang diutarakan Mahathir bertentangan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan, menyatakan semua warganegara mempunyai hak menubuhkan persatuan.

Beliau turut berkata, ia juga melanggar Perkara 10(2)(c), kerana menyekat hak menubuhkan persatuan, atas alasan keselamatan, ketenteraman awam atau kemoralan.

“Ini bermakna bahawa (orang ramai) daripada semua kaum, agama, wilayah, profesion, atau kumpulan mempunyai hak menubuh dan menyertai persatuan selagi mana persatuan ini tidak dibenarkan atas alasan tertentu,” katanya kepada FMT.

“Kita berada dalam negeri persekutuan. Bagaimana anda ingin menyekat parti tempatan daripada diwujudkan? Apa akan berlaku kepada parti Sabah dan Sarawak?” katanya sambil mempersoalkan kedudukan parti berasaskan agama dan parti berasaskan buruh.

“Kita berada dalam negara pelbagai agama dan kaum. Justeru, ia terikat dengan parti mewakili rencam kepercayaan dan pandangan, dan ia perlu dihormati.”

Mahathir, apabila ditanya sama ada undang-undang sedemikian bertentangan kebebasan berhimpun atau berpersatuan, beliau berkata, “tiada kebebasan mutlak”.

Katanya dalam sidang media pada 28 Nov, ketika didapati kebebasan memusnahkan masyarakat, timbul keperluan untuk menghadkan kebebasan.

Mahathir berpandangan sistem dua parti mampu mengekang berulangnya ketidakstabilan politik berlaku pada PRU lalu, mengakibatkan Parlimen tergantung sekali gus melemahkan kemampuan mana-mana parti membentuk kerajaan stabil.

Namun, Shad Saleem tidak bersetuju dengan menyatakan rakyat Malaysia perlu sedar landskap politik semasa merupakan evolusi demokrasi, di mana era kerajaan minoriti, gabungan, dan perpaduan berkemungkinan akan berlaku selama beberapa dekad.

Katanya, berbanding sistem dua parti, fokus mesti terarah memperkukuhkan undang-undang antilompat.

Vendargon bersetuju apa jua paksaan kepada sistem dua parti berkemungkinan melanggar hak asas kebebasan bercakap, berhimpun, dan berpersatuan (dengan had) seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan.

Beliau menyifatkan cadangan itu sebagai “paksaan tidak wajar menjejaskan kebebasan rakyat memilih”.

“Siapa yang membentuk dua parti politik pertama? Kenapa pula parti politik ketiga tidak menawarkan diri? Bagaimana pula dengan calon bebas?” soalnya.

Pakar undang-undang Perlembagaan, Philip Koh menekankan bahawa walaupun tiada perintah perundangan boleh menyekat demokrasi sihat, ahli politik juga harus bertindak dengan integriti dan niat baik.

“Walaupun seruan Mahathir itu difahami memandangkan tiada lagi parti dominan, adalah naif memikirkan undang-undang (sistem dua parti) boleh menyediakan kestabilan dan menghalang gerakan politik” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.