Suami bekas pelakon direman 3 hari

Suami bekas pelakon direman 3 hari

Kontraktor berusia 46 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes keganasan rumah tangga.

gari
Semalam polis menahan suspek bagi membantu siasatan selepas bekas model dan pelakon berusia 36 tahun mendedahkan menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
KUANTAN:
Suami kepada bekas model dan pelakon direman tiga hari bermula hari ini hingga Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes keganasan rumah tangga.

Perintah reman terhadap kontraktor berusia 46 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Tengku Eliana Tengku Kamaruzaman.

Lelaki itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuantan sekitar 8.30 pagi.

Semalam, polis menahan suspek bagi membantu siasatan selepas bekas model dan pelakon berusia 36 tahun itu mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Lelaki itu ditahan selepas hadir ke IPD Kuantan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata siasatan awal mendapati bekas model dan pelakon berkenaan menjadi mangsa keganasan rumah tangga dipercayai kerana ingin keluar dari rumah dan tinggal berasingan.

“Laporan polis dibuat oleh mangsa pada 27 Nov lepas dan suspek ditahan semalam selepas hadir ke IPD Kuantan,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan di IPK Pahang.

Baru-baru ini, bekas model dan pelakon itu mengejutkan peminatnya apabila memuat naik dua foto mendedahkan wajahnya yang lebam di bahagian mata menerusi hantaran terkini di Instagram miliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.