
Dalam keputusan diumumkan awal pagi ini, 10 daripada 16 penyandang kembali, membentuk kumpulan pelbagai kaum walaupun timbul kebimbangan terhadap desakan NGO yang dikatakan mahu 15 calon Melayu dan seorang Cina dipilih.
Keseluruhannya, seramai 42 calon bertanding pada pemilihan itu.
Sejumlah 6,173 daripada 24,262 kertas undi dikembalikan – bersamaan 28% kadar penyertaan dalam proses pemilihan selama sebulan, berakhir pada Sabtu lalu.
Sebelum ini, purata pengembalian kertas undi sekitar 5,000.
Kumpulan dikenali “Progressive Team”, yang berkempen untuk skim insurans tanggung rugi peguam yang dibiayai sendiri bagi penurunan premium, menyaksikan hanya lima wakilnya dipilih.
Tiga calon meraih undi tertinggi adalah peguam dari firma terkemuka Azmi Mohd Ali, Gregory Das, dan V Kokila Vaani, bekas ketua Badan Peguam Selangor. Semuanya sedang berkhidmat dalam penggal 2024-2025.
Penyandang lain yang kembali dipilih adalah Abhilaash Subramaniam, Collin Arvind Andrew, Farez Ali Jinnah, Kee Hui Yee, Larissa Ann Louis, Peter-Douglas Ling, dan Yasmeen Mohd Shariff.
Muka baharu terpilih adalah S Vivekananda, Abang Iwawan Narawi, S Anishaa, S Ravi Chandran, dan Fariz Irwan Mustafa.
Jawatankuasa utama bagi penggal seterusnya akan dilantik oleh 16 terpilih. Mereka akan disertai 22 yang lain merangkumi pengerusi jawatankuasa peguam negeri dan seorang wakil dari setiap negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.