
Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu berkata, bantuan diberikan secara sama rata oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan agensi lain.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) turut memberi bantuan,” katanya dalam Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.
“InsyaAllah, dengan keberadaan mereka di tempat banjir terutama pusat pemindahan sementara (PPS) cukup meredakan perasaan amarah (mangsa banjir) jika melihat tidak ada wakil rakyat yang turun.”
Terdahulu, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim pada sidang media di Parlimen menggesa kerajaan mempertimbang peruntukan segera sebanyak RM1 juta kepada wakil pembangkang di kawasan Parlimen yang terjejas banjir untuk disalurkan kepada mangsa.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula memohon kerajaan agar membenarkan bantuan kewangan disalurkan terus kepada wakil rakyat di kawasan terjejas banjir bagi mengelakkan ia lambat diterima oleh mangsa.
“Kita minta Adun dan Ahli Parlimen turun membantu mereka dengan kaedah yang mereka sendiri tahu kerana mereka harus menyantuni pengundi masing-masing,” kata Zahid.
Sementara itu, semasa temu bual bertajuk ‘Dua Tahun Madani Bersama Zahid Hamidi’ itu, beliau berkata, kerajaan berpegang kepada konsep ‘buta warna’ dalam pemberian bantuan kepada mangsa banjir.
Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri harus bekerjasama dalam hal itu demi kebajikan semua rakyat yang terjejas, tambahnya.
“Kita boleh berbeza pendapat tetapi saya harap perkara ini difahami oleh semua supaya kepentingan rakyat diberikan keutamaan,” katanya sambil menambah, semua negeri tanpa mengira parti memerintah harus seiring dengan kerajaan Madani.
Zahid juga berkata, kerajaan ketika ini berada pada tahap persediaan tertinggi bagi mendepani gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku dari 8 hingga 14 Dis akibat luruan monsun.
Katanya, ini termasuk mengenal pasti sejumlah 8,481 PPS yang boleh memuatkan lebih 2.1 juta mangsa banjir pada satu-satu masa selain penglibatan 82,000 petugas pelbagai agensi dalam penyelarasan bantuan.
“Kita tidak mengharapkan sesuatu yang buruk tetapi lebih baik daripada sudah terhantuk baru terngadah,” katanya.